Aku jadikan Surah Al-Quran itu Surat CintaMu Ya Allah.. Aku jadikannya teman hidup dimana jua ku berada.. Aku jadikan Solat, talian hubunganku denganMu Ya Allah.. Tatkala rindu syahdu melanda, bisikan Zikir menjadi penawar hatiku.. Ketika sujud, aku memohon agar Kau menerima segala amalanku.. Dalam Tahajud ku bisikan.. Ya Allah, moga Engkau letakkan aku b'sama yg Kau kasihi.. Dan panggilan pulangku, menjadi pertemuan pertamaku denganMu.. Ya ALLAH Kekasihku.. Engkau Yang Satu..

Nasihat Bijaksana

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Sembahlah Allah dan janganlah kamu sekalian mempersekutukan dengan sesuatu. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya”.
( Surah An-Nisa’ : 36 )

“Silaturahim itu memanjangkan usia dan meluaskan rezeki…”



Menghubungkan silaturahim adalah perkara wajib bagi makhluk yang bergelar insan muslim dan memutuskannya adalah haram dan termasuk dalam golongan orang yang mendapat laknat Allah s.w.t. Dalam menghubungkan silaturahim sesama manusia, kita digalakkan berbuat baik antara satu sama lain. Andai mampu dan berkesempatan, tiada salahnya kalau menghulurkan bantuan, hadiah, menziarahinya, mendoakannya dan sebagainya. Segala macam cara mampu untuk menjalinkan hubungan sesama manusia ini. Asalkan bukan atas niat yang buruk.

Apa gunanya kita melaksanakan solat tetapi pada masa yang sama kita memutuskan hubungan silaturahim. Dalaman yang penuh dengan hasad perasaan dengki dan meluat yang bertapak di sanubari. Muka bertandang selalu di surau, masjid, majilis ilmu dan dalam masa yang sama menjadi batu api dalam memutuskan hubungan sesama manusia. Semua ini tidak mustahil di dunia realiti kita pada masa kini. Hatta kawan baik sekalipun mampu diduga dengan 1001 syak wasangka. Apatah lagi dengan kawan yang belum kita kenali sepenuhnya. Selalu yang didengari adalah daripada kawan rapat, teman mesra , rakan baik. Bukan hendak berburuk sangka dengan sesiapa tetapi itulah kenyataannya. Bahkan ahli serumah di antara kawan-kawan pun boleh ‘tarik muka’ apatah lagi yang pernah terluka dan berdendam. Kawan yang sudah kenali sekian lama pun mampu menikam dari belakang.


Dalam hal ini, Islam telah mengajar kita cara untuk menangani tentang suatu berita yang datang kepada kita. Apa yang perlu kita lakukan bila mana mendengar dan dikhabari dengan sesuatu hal. Adakah hendak membuta saja. Siasatlah terlebih agar tiada kemudharatan pada masa akan datang. Mencegah lebih baik daripada berubat.

Andai kita perhatikan manusia di sekeliling kita, kita akan dapati semuanya salah dan hanya kita sahaja yang benar belaka. Itulah hakikat manusia yang mempunyai ‘hati’ dan ‘akal’. Tidak pernah nampak salah  sendiri, hanya nampak salah silap orang lain. Akan tetapi, bila mana sudah ternyata benar, terang lagi bersuluh seseorang itu salah dan silap dalam melakukan sesuatu maka tegurlah dengan cara yang bijak, berhemah dan berhikmah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan dengan tutur kata yang baik.”
( Surah An-Nahl  : 125 )

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan suatu kemungkaran maka tegurlah dengan tangan ( kuasa ), andai tidak mampu maka tegurilah dengan lisan, andai tidak mampu maka tegurilah dengan hati. Dan itulah selemah - lemah iman.”



Menegur dengan tangan beerti apabila kamu diberi satu ‘kuasa’ iaitu tangungjwab sebagai seorang pemimpin. Maka gunakanlah kuasa yang ada pada kalian untuk menegur. Menegur dengan lisan pula, semuanya sudah maklum dan menegur dengan hati beerti kita membenci akan sesuatu kemaksiatan yang terjadi. Takkan hendak membenci sahaja, maka doakanlah  buat mereka yang tersadung langkah dalam kehidupan itu. Mudahan pintu hati terbuka dalam melaksanakan kebaikan. Sekurangnya ada juga saham kita di akhirat kelak. Biarpun kecil, tetap dinilai di sisi Allah s.w.t.

Ada kalanya kita terpaksa menegur dalam hati sahaja. Bukan beerti takut untuk menegur tapi sebagai langkah berjaga dan berwaspada andai ada kemudharatan buat diri kita.

Menegur dengan lidah juga perlu diambil kira, kadang salah orang yang menegur juga. Tegur ikut suka hati saja. Tegur orang macamlah dunia ini dia yang punya.  Tegur tidak kena gaya. Masalah juga dengan orang macam ini. Kalau nak menegur orang sekalipun tegurlah dengan cara yang kena pada tempat dan keadaan dan bergantung pada individu yang ingin ditegur. Semuanya berpaksikan iman dan akal, bukan diperhambakan dengan nafsu yang berkocak. Dan sengaja menegur supaya dikatakan hebat di depan orang lain. Itu pun kalau tiada masalah. Silap hari bulan, orang yang ditegur kena pulang paku keras. Ada masanya perlu ditegur di depan orang dan ada masanya ditegur secara individu. Jangan hendak main hentam keromo.

“Islam Dilihat Pada Akhlaknya”


Sesungguhnya amalan nasihat menasihati sekiranya dilakukan dengan cara yang betul boleh mengeratkan hubungan silaturahim. Apa salahnya kalau menggunakan bahasa yang lembut dan bersopan. Bukan penakut atau bacul tapi sebagai langkah permulaan bagi seorang da’ie, itulah yang ana fikirkan. Ataupun dengan cara kiasan dan sindiran. Dalam bergurau senda juga boleh kita menegur sesama kita. Ada sesetengah orang, bisa juga bila berbicara. Tegur dengan ayat yang mendalam.  Sebab itulah lidah ini dikatakan lebih tajam dari mata pedang. Akan tetapi tidak menjadi kesalahan andai dalam melakukan kebaikan di sisi agama Islam.

“Kalau hang pikiaq hang dah dapat jaminan ahli syurga,
punya pasai hang la nak buat apa pun..”


Sebuah hadis daripada Abu Wail Syaqiq berkata : Ibnu Mas’ud biasa memberi nasihat kepada kami setiap hari Khamis, kemudian ada seseorang berkata kepadanya : Wahai Abu Abdurrahman saya amat senang hati kiranya engkau mahu memberi nasihat kepada kami setiap hari. Ibnu Mas’ud menjawab: Sebenarnya tidak ada yang menghalangi saya untuk memberi nasihat setiap hari melainkan saya bimbang kamu semua akan menjadi bosan. Saya sengaja menjarangkan waktu untuk memberi nasihat sepertimana Rasulullah SAW juga menjarangkan kepada kami kerana Baginda bimbang kalau kami merasa bosan.

0 comments:

Post a Comment