Detik yang ku nantikan sekian lamanya setelah mana berpisah dengannya hampir setahun yang lalu. Aku harapkan pada kali ini akan dapat ketemu lagi denganmu buat kesekian kalinya. Ingin kudakap dirimu sebagai pendinding buatku di sana nanti. Andai dulu ramai yang menantikan dirimu yang mulia itu, apakah masih ramai lagi yang setia menantikan dirimu di saat ini. Ataupun mereka gusar dengan kehadiranmu. Risau dengan kehadiran kau yang membataskan kehidupan seharian mereka. Bagiku, biarlah aku susah perit asalkan dapat aku bersama dikau di saat itu. Merindui saat manisnya kita bersama di malamnya. Letih lelahku di saban siang tetapi kau tetap menemani aku di saat itu. Berapa ramai yang beriya untuk menemui kau di hayat mereka tetapi Dia lebih menyayanginya. Pergi dahulu sebelum sempat berjabat denganmu. Ramai yang kau undang tetapi langsung tidak mereka menjaga dengan baiknya. Seolah dirimu langsung tiada nilainya. Andai ini pertemuan kasih sayang kita yang terakhir, aku mengharapkan ianya adalah tautan kasih sayang kita yang paling erat sekali. Semakin erat seeratnya. Akan ku sesali andai tidak aku manfaatkan diri kau selagi mana hayat nafasku dan jua roh ku di jasadku yang kerdil ini. Akan ku cuba menjadikan pertemuan ini sebagai kenangan manis yang mampu buatku aku tersenyum di kala hujung nyawaku. Akan ku cuba warnai perjumpaan kita dengan untaian syukur dan akan ku tangisi dengan mutiara jernih di saat perpisahan kita. Aku tahu, andainya ada pertemuan sudah pasti adanya perpisahan. Betapa berat sekalipun untuk aku menerima, perlu aku gagahinya jua. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, tanpa perpisahan tiada pertemuan.
Wahai Ramadhan al mubarak,
ku nantikan saat tibanya kedatangan dikau.
Akan ku cuba menjadi hamba yang terbaik buat-Mu dalam mendapat rahmat-Mu.
Akan ku kesali segala dosa-dosaku untuk ku perolehi maghfirah-Mu.
Ku mahukan pembebasan daripada merasai azabnya neraku-Mu Ya Allah.
Ya Allah, izinkan ku ucap kata taubat sebelum Kau memanggilku kembali pada-Mu. Menutup waktu hayatku, ku serukan nama-Mu sebelum nyawa di tubuhku diambilkan kembali, kembali pada-Mu kerana aku tahu hanya pada-Mu tempatku mengadu, tempatku mengeluh di dalam setiap doaku. Dan demi nafas yang menjadi pinjaman buatku dalam hidup ini, aku cuba menjadikan diriku yang terbaik untuk aku menjalankan segala perintah-Mu, ‘amar’ Mu dan menjauhi segala larangan-Mu, tegahan Engkau. Walaupun ku tahu, aku sering kali tersadung tika melaksanakannya. Ku pohon doa buat-Mu Ya Rabb.
Ya Tuhan Rabbul ‘Izzah, apabila saatnya ajalku, mudahan Kau redha bertemu denganku dan aku redha untuk bertemu dengan-Mu.
0 comments:
Post a Comment