Bismillah,
Dengan Nama – Mu ya Allah..
Segala
puji bagi Allah
s.w.t. Tuhan Sekalian Alam..
Maha Agung lagi Maha Tinggi dari
segalanya..
Selawat dan
salam ke atas junjungan agung lagi mulia, kekasih - Nya yakni Nabi
Muhammad s.a.w. penutup
sekalian nabi dan rasul..
Kesejahteraan
buat ahli keluarga Baginda
Rasulallah, ulul Azmi dan jua buat para sahabat r.a. seluruhnya..
Tidak ketinggalan
buat para tabi’ tabi’in..
Para alim
‘ulama, para cendekiawan Islam dan para syuhada’..
Buat mereka
yang memnyebarkan risalah “Nurul Huda” di persada seantero dunia..
Membangun
bersama berjuang demi agama nan suci, Islam..
Muslimin Muslimat
Mu’minin Mu’minat..
**********************************************************************
Dua nikmat selepas kemanisan Iman, Islam dan Ihsan yang mana
terbina rukun agama buat manusia insan kerdil di hadapan Sang Pencipta iaitu nikmat
sihat tubuh badan biarpun dari segi rohani dan jasmani, dan jua nikmat masa
lapang dan luas yang sering terabai dan terasing bila kesenangan dan kemewahan
merangkul diri mencengkam jasad pinjaman sehingga leka dengan fatamorgana dunia.
Syukur dan redha atas “…pinjaman tidak
berbayar..” buat insan kerdil ini setelah sekian lamanya menghirup udara
tanpa ada sekatan. Biar sesekali terasa nyawa di akhirnya. Terfikir saban
waktu, “..apakah hari ini adalah
hari terakhirku…??? “ Syahadah dan wudu’ menjadi ‘teman’ saat ‘kematian yang sementara’ sambil
memikirkan dosa noda yang entah terampun oleh - Nya atau tidak.
Memikirkan salah silap sesama makhluk yang berat sekali meyakinkan diri bahawa
diri ini dimaafi oleh mereka yang pernah mengenali diri ini biar seketika
sedetik waktu.
Beban yang tertanggung sekian lama, acapkali terasa tidak mampu
dipikul namun digagahinya jua dengan hiasan senyuman diukirkan di dua ulas
bibir. Tidak mampu terluah dengan lisan adakala termaktub dengan tulisan. Hidup
diteruskan hatta…
“…tidak ada beban yang berat jika Allah mengkehendaki
beban berat anda menjadi ringan,
tidak ada penderitaan jika Allah mengkehendaki menjadi
kebahagiaan…”
Terima kasih akan kata - kata ‘penghidupan
semula’ ini. Senyuman mampu diukir saat menerimanya. Siapa sangka makna
yang mendalam bagi mereka yang kian pudar sinar cahaya. Letih dengan permainan
dunia.
Letih dengan ragam manusia. Pendam segala apa yang ingin
dibicara. Pendam segala yang ingin dikata. Pendam apa yang ingin diluah. Tidak mampu
untuk diucap dengan lidah, dengan lisan. Memikirkan apa yang bakal keluar
dianggap sebagai satu beban buat mereka. Dianggap sebagai satu tohmahan. Apa mungkin dianggap sebagai gangguan…???
Hati memendam segala perit. Memendam segala jerih. Mencari ruang
untuk bersendiri. Berbicara dan berbisik seorang diri. Bicara dalam mimpi yang
entah bila kan jadi realiti. Bila sudah letih berhadapan seorang diri, puas
menyembah bumi menangisi kerdil dan lemahnya keupayaan diri. Sujud menghadap Ilahi sambil ‘mutiara jernih’ menitis ke bumi terkenangkan
dosa insani apakah diampuni.
Tahun yang mengajar erti hidup yang tiada disangka tidak dipinta
oleh diri ini, menjadi ‘bahan kajian’ oleh fitnah duniawi dan iri hati. Menjadi perantaraan
maksiat yang terhidang di hadapan mata. Kias dan bayangan sudah diberi namun
tiada daya memikirkan lagi.
Baru kusedari adakah ini sebagai satu kifarah buat manusia yang pernah melalui
dunia kenikmatan biarpun laluan yang dilalui itu hakikatnya satu kesamaran yang
masih ada sinar yang menanti hadapan sana. Risau sebenarnya andai terus gelap
tanpa cahaya petunjuk.
Saat tersedar dari “..lena yang
panjang..” dan “..khayalan yang
penuh tipu daya..”, ingin kembali ke jalan - Nya. Namun bukan mudah untuk diteruskan
biarpun kaki melangkah sekadar beberapa tapak. Setiap kali melangkah, hati
terkilan dan terguris dengan kenangan silam. Kenangan silam yang menjadi
bayangan hitam yang ingin dipadam. Sampai bila harus ditanggung penderitaan
ini.
Saat bersama namun dirasakan seperti dunia
sepi menyendiri..
Saat bersendirian terasa seperti ada
peneman menjadi penghibur diri..
Terasing biar ada di depan mata..
Terleka dengan dunia sendiri berhadap
dengan permainan dunia..
Dimensi membutakan mata memekakkan
telinga..
Paradigma dunia menjadi hilang dalam
kesamaran..
Leka dan alpa, perhubungan menjadi kian
renggang dan kian pudar dari awalnya..
Keaiban diri dicanang di ruang pelusuk bumi, di ruang mata tak
kelihatan baiknya saat kesilapan dipandang besar. Terasa cengkaman jiwa
menghambat perasaan yang ingin berkasih. Benci dan iri menguasai diri
sehinggakan yang lain menjadi korban dengki dan dendam.
**********************************************************************
Bermula dari satu pandangan, saat terukir berbalas senyuman dan
teguran sapa, tika terbina sebuah perkenalan dan binanya sebuah perhubungan
diteruskan pula dengan persahabatan.
Di mana ingin ku cari galang ganti seorang ‘Teman’…
Senyuman di ulas bibir saat kenangan ada bersama biar ada manis
pahit dalam perhubungan. Resah dan gelisah, teguran pedas dan pedih, tajam
memakan diri. Kata-kata sindiran dianggap mainan sebagai hiasan warna warni
perjalanan.
Saat berkongsi pengalaman hidup dan luahan soal hati dan
perasaan. Menjadi sahabat dan teman kepercayan. Namun dalam masa yang sama risau andai apa yang
dikongsi menjadi persoalan dan perbahasan buat yang tidak dikenali. Tokok tambah
dalam ‘cereka’ menjadi ‘halwa’ manisnya bercerita.
Tiada akan adanya dendam tiada akan adanya dengki. Namun mendung
di pertengahan tiada jangka dengan arus dunia. Akhirnya senyap menyepi membawa
diri dibuang insani yang pernah terisi di kamus kehidupan. Diketepi nan menjaga
naluri dan perasaan. Masing-masing dengan cara yang tersendiri. Biarpun begitu
usah ada benci saat kita pergi membawa haluan yang kita tempuhi.
Tidak perlu menjadi batu api. Tidak perlu diaibkan silap salah,
tidak perlu dihebohkan buat umat manusia tentang si fulan itu dan si fulan ini. Salah mana
sekalipun insan itu, apakah kita tahu mungkin ada sesuatu yang dia lakukan yang
menjadi wasilah darjat
manusia diangkat biar dihina di kaca mata manusia.
Gah mana diri kau sehinggakan kau fikir kau saja betul semuanya.
Keras kepala, degil, mustahil tiada dalam diri. Jangan kau canang keaiban
manusia sekeliling kau. Jangan sampai keaiban kau sendiri terpamer dek
perbuatan kau yang cuba kau selindung dari pengetahuan yang lain.
Hubungan persahabatan yang jernih jangan kau cuba keruhkan
biarpun tanpa di depan mata. Kata kau, kau ingin berhenti menjaja namun tidak
pelik dan tidak hairan kalau kau tidak tunaikan. Hipokrit diri kau akan
memakan diri. “..Just wait and see..”
Wahai manusia, biar kalian ada dendam dan amarah buat diri ini,
terserah pada kalian. Kalian ada hak untuk benci marah dan buang diri ini dalam
hidup kalian. Maaf, aku tiada masa untuk benci kalian. Aku tiada ruang untuk
mendendami kalian. Aku tidak punya waktu untuk marah kalian. Apa yang akan aku peroleh andai aku memendam benci,
dendam dan marah…???
“…Aku juga
seorang manusia yang punyai naluri dan perasaan...”
Tiada apa yang aku dapat kecuali diri sendiri yang rasa
terseksa. Jiwa menderita memikirkan hal perihal yang lain tiada untungnya
bagiku ini. Apa sekalipun yang kalian lakukan terhadapku, sebelum mata terpejam
di saat “.. kematian sementara..”, kemaafan dan
doa ku kirimkan buat semuanya. insyaAllah.
**********************************************************************
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi dengan izin - Nya dapat lagi diri ini bernafas di atas muka bumi pinjaman
sementara. Umur yang meningkat, usia yang kian berkurang. Hampirya diri ini
dengan kematian. Sampai masanya akan mendapat gelaran ‘arwah’. Sekarang ini hanya digelar ‘bakal jenazah’. Bilanya, di mananya, saatnya, keadaanya, semuanya
sudah ditetapkan. Menanti tiba waktu ajal menjemput, saat hadirnya ‘tetamu’ yang dirai .. Malaikat Izrail ..
Apakah tika itu diri ini bersedia menyambut ‘tetamu kehormat’ tersebut..???
Apakah hadirnya ‘tetamu’ itu dengan khabar gembira dan senyuman yang
terukir..???
Apakah diri ini redha pada waktunya itu…???
Rahmat dan Maghfirah - Mu ku pohon dari kini buat selamanya. Bukan sahaja buatku
bahkan buat emak ayah, ibu bapa, ahli keluarga dan kaum kerabat saudara mara,
jiran tetangga, sahabat handai, semua umat Islam umumnya samada yang masih
hidup mahupun yang sudah tiada meninggalkan dunia fana ini. Allahumma amin.
Tanpa mereka,
siapakah diri ini setelah 25 tahun ‘bertatih’ suku abad di muka bumi ini. Mencari dan terus mencari di
setiap persinggahan untuk pulang ke ‘kamar halaman’ berbekalkan sedikit bekalan.
Terkadang diri ini
tersasar dari arah tujuan, timur barat utara selatan, aku merangkak pergi. Ada derita, beban, cacat celanya
dalam setiap derap langkah. Ada susah payah yang aku tinggalkan buat kalian. Dengan
rasa rendah diri, inginku pinta, kemaafan dan redha kalian buat diri ini
walaupun aku tahu tidak semua mampu untuk memberikannya. Aku berharap,
tanggungjawab aku sudah usai akan hal ini.
Ya Allah, Tuhan Yang Esa, pada - Mu dipanjatkan doa, tetapkan iman kami pada agama - Mu. Tunjuki kami jalan
yang Kau
redhai dah rahmati.
Amin Ya Rahman..
Amin Ya Rahim..
Amin Ya Rahim..
Amin Ya Rabbal ‘alamin..
~ monolog ~
Muhammad Sobri
bin Abdul Rahim
02 Februari
1990 / 06 Rejab 1410
Jam 1621
0 comments:
Post a Comment