Aku jadikan Surah Al-Quran itu Surat CintaMu Ya Allah.. Aku jadikannya teman hidup dimana jua ku berada.. Aku jadikan Solat, talian hubunganku denganMu Ya Allah.. Tatkala rindu syahdu melanda, bisikan Zikir menjadi penawar hatiku.. Ketika sujud, aku memohon agar Kau menerima segala amalanku.. Dalam Tahajud ku bisikan.. Ya Allah, moga Engkau letakkan aku b'sama yg Kau kasihi.. Dan panggilan pulangku, menjadi pertemuan pertamaku denganMu.. Ya ALLAH Kekasihku.. Engkau Yang Satu..

Ramadhan 1433


Ramadhan kareem ( kemuliaan ) kembali dengan seribu satu rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka Allah Taala. Jaminan yang telah ditetapkan sejak sekian lamanya dahulu. Rugi bagi mereka yang masuk ke dalam madrasah Ramadhan tetapi bila mana keluar dari madrasah Ramadhan ini, mereka tidak mendapat keampunan dari Dia.

Satu kewajipan yang termaktub di dalam Al-Quranul Karim lebih dari 1400 tahun yang lalu. Akan tetapi, sayang seribu kali sayang, masih ada lagi makhluk berakal yang cuba mempertikaikan hukum ini. Masih ada lagi mereka yang menyanggah perintah dari Sang Pengcipta. Tidak hairan andai ada lagi yang membongkak diri menolak secara mentah, menolak secara terang-terangan. Apatah lagi yang menolak secara halus. Cantik di zahirnya tapi hodoh dan buruk pada batinnya.

Amanah dan kewajipan ini yang dipertanggungjawabkan kepada umat manusia yang bergelar Muslim. Bukan sekadar agamanya sahaja Islam tapi jati diri dan peribadiannya jua berhiaskan erti sebenar peranan Muslim. Di mana ingin diperoleh ‘role model’ yang Islamik, sekiranya perkara yang asas sekalipun masih terhuyung hayang, tunggang terbalik dan akhirnya bersandarkan ilmu yang cetek tapi berlagak pandai, tersungkur di dunia kejahilan.