Aku jadikan Surah Al-Quran itu Surat CintaMu Ya Allah.. Aku jadikannya teman hidup dimana jua ku berada.. Aku jadikan Solat, talian hubunganku denganMu Ya Allah.. Tatkala rindu syahdu melanda, bisikan Zikir menjadi penawar hatiku.. Ketika sujud, aku memohon agar Kau menerima segala amalanku.. Dalam Tahajud ku bisikan.. Ya Allah, moga Engkau letakkan aku b'sama yg Kau kasihi.. Dan panggilan pulangku, menjadi pertemuan pertamaku denganMu.. Ya ALLAH Kekasihku.. Engkau Yang Satu..

1436 H

Setiap langkah kaki yang melata di atas muka bumi.
Mulai daripada merangkak, bertatih, berjalan dan terus berlari.
Sedari kecil dari buaian hinggalah letih lesu dimamah usia menanti masanya.
Biarpun tiada semuanya merasa akan nikmat tua.
Sampai tika, pasti seruan Ilahi menjemput tiba.

…………………………………………………….

Setiap hembusan nafas, setiap degupan jantung dan saban tika dan waktunya hidup kita di dunia yang fatamorgana ini merupakan satu ibadah yang tanpa kita sedari memungkinkan kita terlepas peluang akan waktu keemasan yang pasti tiada kembali.

Andai kunjung tiba, dimanfaatkan untuk melihat hasilnya kelak. Saat ia berlalu pergi, sudah tidak akan pulang pada waktunya lagi. Tiada lagi harapan untuk menanti saatnya itu. Masa yang pergi tidak pernah injak kembali. Andai waktu itu boleh berhenti, semua orang inginkan pada saat yang indah sahaja. Tiada mahu rasanya akan jerih pedih dalam kehidupan.

Tapi apakan daya kita sebagai hamba yang berkeliaran dan berjalan di atas muka bumi ini. Kehidupan yang wujud pro dan kontra. Mana mungkin ada atas tiada bawah, mana mungkin ada positif tiada negatif. Mustahil sama sekali ada kehidupan tapi tiada kematian. Itulah makhluk.

Makhluk yang bergelar manusia berakal yang tiada pernah terlepas dan lari dari kesilapan walaupun sebesar zarah. Dan manusia itu sejahat mana sekalipun di pandangan manusia mustahil sama sekali tiada ada kebaikannya biar sebesar zarah. Hakikat sebenarnya kita daripada keadaan fitrah yang suci lagi menyucikan.

…………………………………………………….

Salam Maal Hijrah buat semuanya.

Penghijrahan yang tiada penghujungnya selagi mana hayat dikandung badan. Itulah nilai hijrah, makin berharga bagi mereka yang menghargai akan pengorbanan hijrah. Bukan mudah untuk mudah, bukan susah untuk susah. Tetapi bersama kesusahan itu pasti akan ada kesenangan. Senyuman pasti akan terukir di dua ulas bibir sesudah satu kesusahan ditempuhi bersama satu natijah yang tidak mengecewakan.

Tetapi kesenangan itu tidak akan terhenti di situ sahaja, pastinya kesusahan si pasangannya datang menemani. Fitrah segalanya inginkan berteman. Namun, sesekali terjatuh letih lesu tersadung memikirkan letih yang tiada daya, bangunlah kembali untuk mengapai manisnya sebuah hasil nun di sana.

Di saat tahun yang baru menjengah ini, masih terbuka lagi peluang keemasan buat mereka yang inginkan satu perubahan dan penghijrahan dalam kehidupan. Biarlah usia mencecah puluhan tahun, andai mahukan nikmat kemanisan yang berpanjangan, silakan gapai ‘hijrah’ itu. Andai masih tiada lagi kesedaran dalam diri, mudahan dikau sempat merasainya sebelum berpisahnya roh dari jasad pinjaman sementara ini.


“… Bila mana mata itu suci, sudah pasti apa yang dilihatnya itu suci..”


~ 5 Tahun ~

25 September 2009

Saat terpisahnya dengan keluarga dengan kucupan salam dan lambaian tangan ahli keluarga. Harapan dikalungkan di pundak. Terasa berat tapi perjuangan memerlukan satu pengorbanan. Entah bila akan kembali semula seperti sedia kala.

26 September 2009

Setelah berbelas jam perjalanan, tiba saat kaki melangkah menjejak bumi para nabi, bumi seribu menara, ‘ardhul kinanah’ seumpamanya. Pertama kali melihat dunia di sini seolah-olah berada di suatu tempat yang berbeza sekali.

“..Realiti duniawi tidak sepertimana fantasi mimpi…”

Dengan suasana dan persekitaran yang terlampau asing. Dengan hiruk pikuk lautan manusia yang berkejaran ke sana ke mari. Dengan ragam manusia yang tiada ‘disiplin’ diri. Belum sampai sejam di sini, dunia seperti dilanda musibah yang menakutkan. Menakutkan…???? Oh tidak…

Melalui saat-saat bergelar anak perantauan di bumi yang jauh dari tanah kelahiran bukanlah suatu yang mudah untuk diterima. Di awalnya sahaja. Banyak cabaran, ujian dan dugaan yang perlu ditempuhi. Dengan melayani ragam orang tempatan yang kadang-kala menyakitkan hati. Sebahagiannya sahaja. Tidak semuanya.

Dari saat kekok dalam bab muamalah dan pergaulan sesama warga tempatan hinggalah mampu bergaduh bertekak dengan mereka. Memang satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Bertekak dalam keadaan tertentu sahaja.

Bak kata hati nurani, “tak boleh bagi muka sangat dengan arab ni, melampau..”

Pertemuan, perkenalan dan perpisahan silih berganti yang menjadi fitrah dan lumrah di sini. Dulu kerap kali bertemu dan acapkali menjeling mata, kini sukar sekali dan tiada lagi. Semuanya yang berada di sini mempunyai misi dan visi tersendiri. Mempunyai matlamat dan hala tuju yang ingin digenggami. Cumanya samada tercapai atau tidak masakan ‘peraturan’ dunia yang bergelar ‘… ummu ad dunya..’

Mustahil andai tiada gelak tawa, riang gembira lagikan pula kecewa hiba di saat lemahnya jiwa untuk menerima berita yang mengundang duka. Lagi pula dengan keluarga yang jauh di mata. Hanya kawan, sahabat dan teman yang menjadi tempat melepaskan segala sesuatu yang terbuku terpendam.

Sekali gagal bukan bermakna gagal selamanya. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Usah diperlekehkan yang lain. Mana tahu kekurangan yang dilihat itu tidak seteruk dan tidak sehina kekurangan diri yang masih Allah Taala simpankan, yang Dia hijabkan daripada pandangan dunia.

“..Memori demi memori terlintas dan terpatri..”

26 September 2014

Pejam celik pejam celik, genap 5 tahun keberadaan di bumi Mesir ini. Siapa sangka masa berlalu cukup pantas tidak disedari. Kewujudan kaum Melayu di bumi Dumyat ini kian berkurangan. Masing-masing pulang dengan segulung ijazah tidak kurang juga dengan amanah dan tanggungjawab yang digalas. Siapa sangka, 5 tahun yang dirasakan suatu tempoh yang lama boleh berlalu begitu sahaja. Dunia akhir zaman. Masa pantas berlalu meninggalkan yang terleka dengan ‘buaian kenikmatan’ ‘syurga dunia’ ini.


“..Berbaki yang ada, perjuangan dalam kehidupan perlu diteruskan. Bersambung dari generasi kepada generasi. Tiada akhirnya masa kini..”


..Oh Ramadhan..

Diantara rukun Islam yang lima adalah berpuasa di bulan Ramadhan seperti mana yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. di dalam al–Quranul Kareem..

“Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu, kaum sebelum kamu agar kamu bertaqwa..” Surah al baqarah : 183

Di dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w. jua ada menggalakkan, mewajibkan kita dalam menjalani ibadah puasa yang khusus dan wajib ini, iaitu berpuasa di bulan Ramadhan, hadis di mana menyatakan tentang rukun Islam yang lima. Diantara rukun agama.

Di hujung ayat suci kalamullah itu dinyatakan agar kamu bertaqwa bukan sekadar bertaqwa dengan berpuasa sahaja. Apa guna sekadar berpuasa menahan diri daripada makan dan minum dari terbit fajar hingga terbenam matahari, puasa dalam keletihan lesu tak bermaya kononnya tapi di saat berpuasa itu di siang harinya langsung tidak menunaikan solat fardhu yang merupakan salah satu daripada rukun Islam juga. Dengan kata yang mudah, berpuasa tapi tidak bersembahyang. Rugi beribu kali rugi.

Taat tapi dalam masa yang sama tetap ingkar. Sudahlah setahun hanya sekali sahaja datangnya Ramadhan ini, itupun sekdar sebulan lamanya dan peluang keemasan yang wujud di depan mata tidak diendahkan pula. Saat pintu syurga dibuka seluasnya untuk mereka yang berpuasa, enggan pula melangkah masuk, degil nak membuka pintu neraka yang sudah tertutup serapatnya itu dan hendak terjun ke dalamnya. Apa punya manusia laaaaa…

Tertarik dengan satu kata-kata da’ie, “..bulan Ramadhan ini adalah satu bulan bagi orang Islam untuk memutuskan hubungan dengan syaitan dan iblis laknatullah..”

Andai zaman dahulu, mungkin benar syaitan dan iblis gelisah saat hampir tibanya bulan Ramadhan, apakah zaman sekarang makhluk terkutuk ini masih gelisah sama seperti dahulu. Sedangkan manusia itu sebahagiannya hampir menyerupai kaum ini. Serupa dari segi perwatakan. Mahu tidaknya, sudahlah tidak berpuasa, boleh pula diajak hamba yang lain turut serta. Menghasut dalam kemungkaran kepada Allah s.w.t..

“..Makhluk berakal itu tidak pernah terlepas daripada salah dan silap…”

Dikurniakan akal tapi buat perkara yang dianggap seolah dirinya sudah mendapat jaminan ahli syurga, hukum yang diwajibkan tetap ditolak. Biar tidak diucap dengan kata-kata namun sikap dan perbuatan itu sudah menunjukkan bongkaknya manusia dengan Sang Pencipta, Tuhan Sekalian Alam.



“..Sudahlah nikmat yang diberi tidak disyukuri, malah ego melambung tinggi dengan Ilahi. Duniawi yang sementara ini usah dibanggai, kelak kau kesal dengan kehidupan ukhrawi…”

~ Ramadhan 1435H ~

Bismillah..
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Maha Mengasihani..

Selawat dan salam ke atas junjungan agung lagi mulia penghulu sekalian nabi dan rasul, Muhammad s.a.w. dan seisi keluarga Baginda dan para sahabat seluruhnya yang dimuliakan oleh Allah s.w.t..

Tidak dilupakan juga buat para auliya’, para alim ulama’ terdahulu dan kini, para pejuang agama yang berpaksikan syariat Allah s.w.t. dan seluruhnya buat muslimin muslimat mu’minin dan mu’minat sekalian. Buat mereka yang mengaku dirinya beragama dengan agama petunjuk, Islam dan buat mereka yang beriman dengan rukun Islam yang lima. Dalam mengamalkan kehidupan dengan rukun agama yang tiga dan beriman dengan rukun iman yang enam.

Alhamdulillah, selaut kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Tuhan Rabbul ‘izzah kerana dengan nikmat Iman dan nikmat Islam, dapat lagi kita diberi peluang untuk bersama dengan Ramadhan pada kali ini. Dengan nikmat kesihatan dan masa lapang yang mana dua nikmat yang seringkali sebahagaian manusia itu sendiri leka alpa lalai saat ‘di atas’ dan dikenang saat ‘di bawah’. Nikmat yang cukup bernilai sebagai hamba Allah s.w.t. untuk menghargai dan mensyukurinya.

Nikmat apa lagi yang diinginkannya sedangkan nikmat yang sedia ada sejak azali, sedari kecil hingga ke saat akhirnya masih tidak disyukuri, dipinta pula akan yang entah baik dan entah tidaknya. Sedangkan nikmat yang ada didustakan. Nikmat apa lagi yang ingin dipertikaikan. Dia mengetahui apa yang terbaik di dalam yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Jumaat pertama di bulan Ramadhan 1435H, bulan yang mulia lagi dimuliakan Allah s.w.t. buat ummah manusia dan utamanya umat Nabi Muhammad s.a.w.. Diberi kelebihan buat umat Muhammad s.a.w. dengan kehadiran tetamu yang bertandang setahun sekali dan sebulan lamanya. Bertandang biar tanpa ditunggu biarpun tidak semuanya menanti dengan hati terbuka. Ada yang merungut dengan tetamu yang bakal menjadi saksi utama diantara saksi utama di akhirat kelak. Nauzubillah min za lik.


***********************************************************

~ iQra' ~

Peperiksaan fasa kedua sudah usai seminggu kiranya, berjuang di medan , di dewan peperiksaan adalah salah satu daripada cabang seni bagi seorang penuntut ilmu tidak kira muda atau tua. Tidak kenal usia asalkan masih ada lagi sifat ingin mempelajari dan dahagakan ilmu. Tidak dinafikan, semakin lama kita mendalami ilmu, semakin banyak perkara dan hal yang kita pelajari. Sedikit demi sedikit. Serba mengetahui luasnya ilmu Allah s.w.t.. Tiada sempadan tiada penghujungnya.

Usah membangga diri dengan ilmu yang ada di dalam diri. Jangan dilupai, hebat mana sekalipun taraf ilmu yang ada di dada, pantas mana sekalipun amal yang kita praktikkan seiring dengan ilmu yang kita pelajari, lantang manapun kita berhujah, semuanya itu adalah pinjaman bagi diri sementara ini dalam menguji sejauh mana keberadaan hidup kita di dunia ini dalam menggapai rahmat dan maghfirah Allah s.w.t.. Masih ramai yang lebih hebat dari kita tanpa kita sedari dengan keangkuhan ilmu yang  membuatkan kita selesa di kedudukan yang sedia ada.

Sekarang menanti masa tibanya ‘tetamu’ yang ditunggu selama ini setelah setahun kiranya pergi meninggalkan kita. Lebih kurang seminggu sahaja lagi detik ‘pertemuan’ dengan ‘tetamu’ yang senantiasa diundang dalam fasa kehidupan. Datang dan pergi saat masanya. Meraikan tika bersamanya. Menampung kekurangan diri dengan kelebihan dan keagungannya.



# fasa bercuti dan ‘rehat’ sementara, bersaing diantara duniawi dan ukhrawi, seiring sejajar dalam mencari cinta dan redha Ilahi.

~ Precious ~

~ 02 Februari 2014 ~


Segala puji bagi Allah Taala yang memberikan suatu nikmat yang tiada nilai untuk dititipkan. Hanya kesyukuran dipanjatkan buat Tuhan Sekalian Alam. Masih lagi diri ini diberi peluang sama sekali dipanjangkan umur yang semakin meningkat dewasa dan semakin tua. Menanti harinya untuk kembali menghadap Allah Yang Maha Esa. Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Daripada Dia kita datang dan kepada Dia jua kita kembali. Kembali kepada pemilik sebenar jiwa rasa jasad roh pinjaman sementara di dunia yang tiada kekal ini.

Terima kasih buat yang mengucapkan ucapan ulang tahun dan yang terbaik adalah apa yang didoakan. Bukan sekadar ucapan semata - mata tetapi disusuli dengan doa kalian.

*Memori

~ 06 Februari 2014 ~

Selamat Ulang Tahun Kelahiran yang ke 53 buat emak tercinta, jauh nun di sana tidak dapat meraikan hari kebahagiaan bersama sekian waktunya. Hanya doa yang dikirimkan dari anak yang ‘degil’ ini. Semoga usia yang diperolehi ini membawa 1001 keberkatan, maghfirah dan rahmat dari Allah s.w.t..

Terima kasih kerana melahirkan, menjaga, mengasuh, mendidik dan mentarbiah anak-anak sedari dari sekecil tapak tangan sehingga sekarang. Tiada apa yang dapat kami anak-anak membalas atas apa yang dicurahkan. Mohon ampun, halal makan minum dan segalanya.

                                                                 *Homesick

~ 14 Februari 2014 ~

Terkadang terfikir akan satu perubahan yang baik jua. Setakat apa yang diperhatikan dan dirisik, tiada pula sambutan ‘valentine’s day’. Sampaikan ada yang provok tidak menerima ucapan Hari Kekasih. Hari Kekasihlah sangat.


Alhamdulillah. Satu perubahan yang wajar diberi kepujian untuk diri yang menyedari akan satu fenomena yang hanya membawa malapetaka dan bala untuk ummah sejagat.

'Note'

Bismillah..

Dengan lafaz dan kalimah yang suci ku mulai artikel di tahun ini.

Selawat dan salam ke atas junjungan agung Muhammad s.a.w. penghulu dan penutup sekalian nabi dan rasul, dan tidak dilupakan buat ahli keluarga Baginda dan para sahabat, para alim ulama’ dan sekalian muslimin dan muslimat yang kita garapkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah s.w.t. Tuhan Rabbul ‘izzah..

Sudah lama tidak ‘update’ artikel di ruang karya ini. Biarpun peperiksaan fasa pertama seminggu sudah lama tamat tempohnya. Malas dan ‘baloq’ menerpa diri. Bila sudah tiada ‘kerja’, dicari sesuatu untuk dilakukan.

Sedang mengemas kamar dan ‘khazanah islamiyah’ terjumpa satu ‘nota’ yang membuatkan diri tersenyum secara spontan setelah sekian lamanya hampir melupakan apa yang terjadi suatu ketika dahulu. Menggamit memori bersama dengan ‘kanak-kanak ribena’ biarpun hanya sementara.

Biarpun nakal mereka tidak senakal nakalnya orang dewasa, kadang-kadang itulah bingkisan kenangan yang sukar dilupakan dan senantiasa terpahat di kalbuku. Serius, garang, ketawa bersama, sakat menyakat adalah adat bila tiada aktiviti yang hendak dilakukan. Walaupun terkadang diri ‘dibuli’ sebolehnya oleh ‘kanak’-kanak ribena’ ini.

Dah nama pun kanak-kanak, budak-budak katakan. Kanak-kanaklah sangat. Akal panjang mengalahkan akal orang dewasa. Anak ‘cyber’.


Apa pun, terima kasih atas kenangan yang diberi biarpun waktu itu hanya sebentar sahaja. Sekelumit rasa kasih sayang berputik sesama saudara seagama dipupuk dan dididik kena pada caranya.

Kreativiti kanak-kanak Ribena