Aku jadikan Surah Al-Quran itu Surat CintaMu Ya Allah.. Aku jadikannya teman hidup dimana jua ku berada.. Aku jadikan Solat, talian hubunganku denganMu Ya Allah.. Tatkala rindu syahdu melanda, bisikan Zikir menjadi penawar hatiku.. Ketika sujud, aku memohon agar Kau menerima segala amalanku.. Dalam Tahajud ku bisikan.. Ya Allah, moga Engkau letakkan aku b'sama yg Kau kasihi.. Dan panggilan pulangku, menjadi pertemuan pertamaku denganMu.. Ya ALLAH Kekasihku.. Engkau Yang Satu..

22 Ramadhan


Masa yang berlalu sejak awal Ramadhan terasa pantasnya. Di awal Ramadhan, ada yang mengeluh bila nak habisnya Ramadhan ini. Sekarang hanya berbaki seminggu sahaja lebih kurang. Dengan makna, kita sudah berada di penghujung Ramadhan 1434H. Masa dan waktu dan keadaan yang kita sendiri tidak akan kembali pada saat dan detik ini.

Di akhir-akhir Ramadhan inilah, kita cuba merebut dan bersaing antara satu sama lain dalam mengerjakan ibadah. Biar timbul rasa dengki dan cemburu buat sesama kita. Bukan dengki dan cemburu dengan perkara-perkara mazmumah bahkan dengki kita, cemburu kita sesama muslim dalam perkara mahmudah.

Kita dengki dengan sahabat kita disebabkan dia selalu bangun malam misalnya. Kita juga bangun malam bersama. Tapi, dia mengerjakan ibadah, berqiamullail, membaca al Quran. Kita pula bangun malam sekadar ingin ke tandas. Kalau tidak pun, menonton perlawanan bola sepak. Tidak kurang juga yang bermain ‘game’ mahupun yang lepak di sana sini.

Bersangka baik, yang lepak itu bukan sebarang lepak..
Yang bermain ‘game’ itu bukan sebarang main sahaja..
Yang berjaga malam bukan sebarang berjaga..
Dalam diam hati mereka bertasbih, bertahmid dan bertakbir mengakui

“tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah..”

21 Ramadhan

“Biarlah titisan peluh yang menitis itu 
menjadi saksi di akhirat kelak.”

Sewaktu menunaikan solat terawikh, terkadang sempat juga melihat yang berpeluh dek kepanasan. Mungkin juga sekarang ini suhu bumi yang kian meningkat ataupun peralihan cuaca. Saban ketika, sana dan sini memang panas biarpun waktu malam.

Bila terlihat mereka yang dibasahi peluh tika menunaikan solat, terasa beruntungnya mereka itu. Apa tidaknya, titisan peluh itu bakal menjadi saksi di akhirat kelak. Titisan itulah yang mengatakan bahawa si fulan ini si fulan itu mengerjakan ibadah kepadaMu Ya Allah.

Teringat zaman sekolah dulu, sewaktu bulan Ramadhan, pakat berebut nak cari ‘parking’ dekat dengan kipas. Tapi, ada seorang yang tidak kisah langsung dengan hal itu. Bila disindir dengan sebahagian yang lain, jawabnya hanya bersahaja, “tak pa la, peluh ni jadi saksi kat kiamat nanti..”

Waktu itu tahun 2006, masih jelas di ingatan seperti semalam. Tidak terlintas di fikiran sebelum itu bahawa itulah ‘saksi’ kita di akhirat kelak. Alhamdulillah.




Memang ada yang katakan panas, tak boleh nak khusyuk sembahyang. Peluh, tidak selesa nak sembahyang. “bersama kesusahan itu ada kesenangan”. Kesusahan di dunia ini, beerti kesenangan di akhirat. Insya-Allah. Yakin dengan janjiNya.

20 Ramadhan

Semakin hari semakin berkurang jumlahnya. Berbaki yang tidak seberapa di dalam bulan Ramadhan ini. Semakin hari semakin hampirnya kita dengan Syawal. Pejam celik pejam celik kita memasuki fasa ketiga iaitu ‘pembebasan daripada api neraka’. ( ‘itqun min an nar )

Kita sebagai umat manusia diberi peluang dalam kehidupan untuk membebaskan diri kita daripada mampirkan diri dengan jurang neraka. Bahangnya api neraka itu tiada siapa tahu. Wallahualam. Pernah mengikuti satu ‘majlis’. Di dalamnya ana peroleh… “api neraka itu 70 kali ganda panasnya berbanding api di dunia ini.”( lava gunung berapi )

Api yang sedia ada di dunia ini sekalipun kita tidak mampu bertahan, apatah lagi api di neraka kelak. Walaupun diberi peluang, hanya beberapa sahaja yang mengambil cakna. Dikatakan ‘nur’ belum sampai. ‘Hidayah’ belum tiba.


Banyaklah kau ‘nur’ dan ‘hidayah’ belum sampai belum tiba.  Datang malaikat maut nanti bertandang di hadapan engkau untuk mengambil nyawa, katakan ‘tunggu sebentar’. Itu pun kalau ada peluang.


19 Ramadhan


Esok adalah hari terakhir di dalam fasa kedua di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Fasa kedua yang dijanjikan buat umat yang bertakwa yakni ‘maghfirah’. Pengampunan daripada Allah s.w.t.. Masih belum terlambat biarpun hari yang terakhir. Mungkin yang terakhir kalinya dalam kehidupan dunia ini. Siapa yang tahu.

Di fasa yang pertama dahulu, ana khabarkan tentang rahmat Allah s.w.t. iaitu kasih sayang Allah s.w.t. kepada umat manusia yang menjalankan apa yang disuruh, apa yang diperintahkan iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Ia adalah kewajipan yang mesti ditunaikan selagi mana mencukupi syarat di sisi syara’.

Bila mana sudah perolehi kasih sayang Allah s.w.t. maka diampunkan akan segala dosa-dosa yang kita lakukan. Tapi, itu semua adalah di luar batasan kemampuan fikiran manusia. Kita sebagai hamba yakin dengan apa yang dijanjikan. Bulan Ramadhan ini ganjarannya tidak dapat dibayangkan sama sekali kerana semuanya kembali kepada Dia.

Apa yang boleh kita harapkan, sama-sama memanjatkan syukur kepadaNya dan memohon akan maghfirah Allah s.w.t.. Mudahan dengan itu, kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. memperoleh rahmat Tuhan Rabbul ‘izzah bukan sahaja dalam kehidupan dunia ini bahkan di kehidupan akhirat kelak. Amin…

*********************************************


Ibu bapa ( penjaga ) mana yang tidak sayangkan anak sekalipun anak-anak itu sering kali nakal dan berbuat silap. Tapi kerana sifat kasih sayang yang ada pada diri nurani ibu bapa itu, mereka tetap maafkan dan mengampunkannya…

18 Ramadhan

Ada orang kata tazkirah diantara solat sunat terawikh tidak boleh dilakukan. Ana tanya semula ‘kenapa…???’ jawabnya ‘sebab ganggu orang lain nak lakukan ibadah, sembahyang’.

Ana pun tidak pandai sangat dalam bab ini. Apa yang boleh ana kongsi serba sedikit adalah apa yang ana dengari dan ana pelajari. Kalau salah tolong perbetulkan silap ana. Biasalah, ana pun dalam fasa ingin menuntut ilmu jua.

Sedari kecil ana sudah biasa dengan keadaan sebegini. Ada tazkirah ringkas seumpamanya yang dilakukan sewaktu solat sunat terawikh. Kebiasaannya solat 4 rakaat, berhenti seketika untuk tazkirah Ramadhan dan sambung semula hingga ke akhirnya. Ada yang lakukan selepas 8 rakaat mahupun selepas witir tapi mesti jemaah pakat-pakat ‘ghaib’ bukan. Ajaib.

Ana tertarik dengan satu ucapan dalam tazkirah yang ana dengar baru-baru ini. Ana huraikan sehaja. “…Ada orang yang tidak mahu masuk syurga. Siapakah orang itu…??? Iaitu golongan yang tidak mahu masuk dan menghadirkan diri ke majlis-majlis zikrullah. Majlis yang mengingati Allah. Dengan kata lain, majlis ilmu. Apakah tazkirah itu bukan daripada majlis ilmu. Iaitu Taman-taman syurga. Golongan inilah yang tidak mahukan syurga…”

Seperti ana bahaskan dalam artikel sebelum ini. Solat terawikh itu adalah sunat sedangkan menuntut ilmu itu adalah wajib. Tazkirah itu juga sebahagian daripada menuntut ilmu. Taman syurga. Jadi, yang manakah keutamaannya…???


Bila diajak ‘kutu rayau’ dan ‘geng lepak’ puak-puak jaminan 'ahli syurga' buat kebaikan, dibalas pula ‘kalau nak ceramah pergi la masjid surau’. Pandai pula menjawab. Aku pun nak bidas gak kalau lagu ni punya ceghita...‘ni mai nak habaq pi kat hampa..kalau hampa pi, aku pon tak heqan..tapi masalahnya hampa tak mahu pi’..


17 Ramadhan

Di dalam sejarah Islam tercatatnya sebuah peristiwa “Nuzul al Quran”. Peristiwa yang terjadi di dalam bulan Ramadhan. Penurunan al Quran yang mulia di dalam bulan yang mulia dalam sejarah Islam yang mulia. Segala-galanya dimuliakan sekiranya al Quran dijadikan sebagai satu panduan hidup dan pedoman kehidupan makhluk sejagat.

Di sinilah tercatatnya segala hukum hakam kehidupan manusia dari segi ibadahnya. Ibadah yang merangkumi tentang kebersihan dan perbahasannya. Solat dan kewajipan solat begitu juga dengan perbahasannya. Puasa dan kelebihannya yang kita sedia maklum. Termasuklah juga tentang kewajipan menyempurnakan zakat dan menunaikan haji dan umrah. Dengan bahasa mudahnya, Rukum Islam.

Dari segi muamalatnya yang menerangkan tentang segala urusan jual beli. Sama ada buat penjual mahupun pembeli. Jaminan dalam perniagaan. Soal hutang piutang dan dengan kata lain, segala-galanya tentang perniagaan serta wasiat. Semuanya ini cukup bernilai dalam soal muamalat.

Seterusnya dari segi munakahat, iaitu tentang bab nikah kahwin. Inilah bab yang cukup digemari dan cukup disukai ramai. Kalau sekadar mahu kahwin tapi tidak mempelajari tentang ilmu munakahat, tak jadi juga. Ada setengahnya itu, bila ditanya apa rukun nikah…??? Gelabah semacam saja. Tapi kahwinnya mahu cepat.

Dan akhirnya tentang ‘jinayat’. Dengan bahasa mudahnya. Hukum hudud yang Allah s.w.t. tetapkan di dalam kitab sucinya, al Quran. Sebagai contohnya ana datangkan tentang mencuri. Adakah seseorang yang mencuri terus dipotong tangannya. Perlu ingat, ada 15 perkara yang membolehkan mencuri. Kalau tidak tahu, jangan terus terang menjatuhkan hukum.



Al Quran yang merupakan peradaban Islam untuk umat sejagat tapi berapa ramai yang sekadar belajar tapi tidak mengamalkan. Berapa orang yang mengamalkan tapi langsung tiada kesannya. Jangan kita hebat tentang ilmu al Quran di dunia ini tapi bila di akhirat kelak, al Quran tidak mahu menjadi syafaat kita. Nauzubillah.

16 Ramadhan

Antara perkara wajib dan perkara sunat, mana dahulu yang perlu kita dahulukan. Mana yang perlu kita utamakan. Kalau tanya kanak-kanak sekalipun, WAJIB adalah perkara yang perlu kita dahulukan. Tapi kebanyakannya lebih gemar mengutamakan perkara sunat berbanding dengan perkara wajib.

Perkara sunat yang cukup mudah sekali kita tunaikan berbanding dengan perkara wajib. Sebagai contohnya, kerap bangun malam berqiamullail diteruskan lagi dengan tadarus al quran. Kemudian tidur semula hingga mengakibatkan subuhnya melepas. Melepas bukan bermakna tidak menunaikan solat. Tetap tunaikannya. Tapi terlepas waktu subuh. Waktu yang ditetapkan. Dengan kata lain, ‘subuh gajah’ tidak pun ‘subuh dinasour’. Silap hari bulan, boleh dijama’kan sekali dengan solat sunat dhuha.

Begitu juga dengan menuntut ilmu. Tidak kira menuntut ilmu dari cara dan aspek yang bagaimanasekalipun, jangan cuba pertikai si fulan itu tidak datang mengaji. Si fulan itu malas nak datang tuntut. Apa kamu tahu cara kehidupan seharian 24 jam yang si fulan itu lakukan..??? Jangan kerana diri kita dikenali sebagai penuntut ilmu yang tegar, kita dengan mudahnya menafsirkan seseorang yang tidak se’aliran’ dengan kita.

Perlu diingatkan, menuntut ilmu itu adalah perkara wajib. Amalan qiamullail dan bertadarus itu adalah sunat. Andai tidak menuntut ilmu, dari mana datangnya ilmu yang hendak kita laksanakan adab-adab dan cara ingin bertadarus dan berqiamullail. Amalan sunat itu sebagai menampung amalan kewajipan dalam seharian kehidupan kita.


************************************************

Kita mempunyai sepasang pakaian. Pakaian kita sekadar kosong tiada coraknya. Kita tampalkan, kita corakkan dengan pilihan kita sendiri supaya ia nampak menarik di pandangan kita. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu mencorakkannya, apakah kita bisa menjadikan pakaian kita itu secantik mata memandang…???

15 Ramadhan


Sudah 15 hari lamanya kita berpuasa. Terasa macam baru semalam kita mula berpuasa. Hari ini sudah menjengah ke pertengahan Ramadhan. Pertengahan bulan Ramadhan. Bulan ke sembilan dalam kalendar Islam. Kalendar Hijrah. Jangan sekadar tahu berpuasa sahaja tapi tidak tahu bulan ke berapa di dalam Islam.

Amanah adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan biarpun siapa dirinya. Samalah, apabila seseorang yang bekerja diberi amanah untuk menjalankan kerjanya. Ada tuan besar katakan. ‘Bis Boss’.

Tidak kisah kerja apa sekalipun, namun amanah itu adalah satu kepercayaan dan tanggungjawab yang perlu dan mesti dipikul serta dilakukan kena pada tempohnya.

Dalam bulan Ramadhan ini juga, kita sebagai muslim diberi satu amanah iaitu berpuasa di bulan Ramadhan menepati syarat-syaratnya. Bila sudah diberi amanah ; Apabila sudah diberi kepercayaan ini, adakah kita melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Jangan sekadar ‘aku dah terima amanah’ tapi tidak melakukan. Sudah tentu amanah yang dipertanggungjawabkan perlu dijaga dipelihara sebaik mungkin. Secantik dan seindahnya. Bukan sekadar pada kata-katanya sahaja.


Begitu jugalah puasa kita dan amalan kita di bulan Ramadhan ini. Perlu dijaga dan diperlihara biarlah tampak cantik menarik tertarik menawan rupa gayanya. 

14 Ramadhan

Dua minggu sudah lamanya kita berada di dalam bulan yang mulia ini. Dua minggu juga kita melaksanakan tuntutan kewajipan ke atas diri kita sebagai umat Muhammad s.a.w.. Ia adalah salah satu daripada tuntutan-tuntutan Islam yang kita kasihi.

Separuh daripada Ramadhan berjaya kita tempuhi. Hanya tinggal separuh sahaja lagi. Namun begitu, tidak semua yang berjaya menghabiskan Ramadhan dalam dua minggu ini. Masakan ada yang lebih mengasihi mereka. Andai kita adalah makhluk yang paling mengasihi diri mereka, tapi ada lagi yang lebih tinggi kasihnya buat mereka. Saat mereka dipanggil dan dijemput lebih awal daripada kita. Terima, redha atas ketentuanNya.

Walaupun dua minggu berlalu, kesan tarbiah di dalam bulan Ramadhan seolah-olah tidak wujud. Sikap dan perangai masih lagi sama. Masih di takuk yang lama. Tiada langsung perubahan. Erti yang tiada erti tarbiah Ramadhan ini. Masih ada lagi kesempatan untuk meneruskan niat perubahan.


Dalam ‘pencarian’…


13 Ramadhan

Lima puluh ringgit ( RM 50 ) ringan sekali dihulur saat membeli itu ini di bazar Ramadhan tapi satu ringgit ( RM1 ) begitu berat sekali dihulur tika tabung masjid bertandang di hadapan mata. Apatah lagi untuk si fakir yang memerlukan. Amal jariah memang berat untuk kita lakukan kerana kita hanya melihat ‘balasan’ yang segera.

Berapa lama tempoh kita ‘hidup’ di dalam bulan Ramadhan ini sedangkan ‘mati’ kita lebih teruja di siang harinya. Katanya tidur itu juga ibadah. Memang ibadah. Dipersilakan. Walhal, dalam jaga kita di bulan Ramadhan, banyak aktiviti dan ibadah mampu kita tunaikan. Jangankan tidur tiada jaganya. Jaganya di sana kelak.

Andai menghadirkan diri ke masjid. Badan gelisah, panas dan resah. Baru duduk i’tikaf dah rasa tidak selesa. Terasa bahang. Malas sekali untuk kita i’tikaf di masjid dengan lebih lama. Satu jam sekalipun terasa terlalu lama. Kalaulah boleh i’tikaf di bazar-bazar dan stadium. Mesti tempat sebegitu lebih popular dari masjid.


Apatah lagi, andai ada tazkirah. Lagi bertambah-tambahlah bahang panasnya. Tapi yang hairannya, bila mana berkerumun seperti semut di bazar, di stadium, di perhimpunan tidak pula terasa resah gelisah begitu. Walhal saat tu lebih ramai makhluk. Asal dengar tazkirah ringkas, ada saja yang angkat kaki. Mahu tak angkat kaki, kemerahan sudah telinga.


12 Ramadhan

Keajaiban di bulan Ramadhan


Banyak keajaiban yang berlaku dalam diri kita sepanjang bulan Ramadhan. Kalau kita berfikir dan berfikir dan terus berfikir, kita akan temui apakah keajaiban tersebut. Keajaiban yang terhijab dari pengetahuan orang lain. tidak mustahil juga keajaiban diri yang diketahui orang sekeliling kita.

Bila mana di luar bulan Ramadhan, kita makan dan minum di siang hari..
namun di bulan
Ramadhan, kita sekadar makan dan minum di malam hari.. 
( pompuan kes len ok )
Walaupun begitu masih ada lagi yang makan dan minum di siang hari sama ada secara terbuka atau bersembunyi. Tidak ada rasa bersalah dalam diri walaupun sekelumit.

Di luar Ramadhan, rajin sekali sesetengah manusia yang ‘mengkhatamkan’ novel. Pantas, emosi, praktikal…
Namun, di bulan Ramadhan hanya segelintir sahaja yang mampu mengkhatamkan ‘novel’ terbaik sepanjang hayat, al Quran..
Masih wujud lagi mereka yang bukan sahaja enggan membaca malah enggan belajar membacanya. Apatah lagi manusia-manusia yang menidakkan segala yang sesuatu terkandung di dalamnya.

11 Ramadhan

Alhamdulillah, Segala Puji Bagi Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu di langit dan di bumi dan diantara keduanya. Puji-pujian buat Tuhan Rabbul ‘izzah yang menjadikan siang berganti malam dan malam berganti siang. Keduanya silih berganti dengan percaturan yang cukup sempurna tanpa ada cacat celanya.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t. kerana kita masih lagi diberi peluang nikmat kehidupan di samping dua nikmat agung yang tiada nilainya. Nikmat Iman dan nikmat Islam. Kerana nikmat ini kita cuba mencari erti taqwa. Dan dengan ketaqwaan itulah kita dimuliakan oleh sekalian makhluk Allah s.w.t..

Mengungkap firman Allah s.w.t. di dalam kitab sucinya, al Quran..
maksudnya:
“…sungguh, yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa…” ( 49 : 13 )



Di dalam Ramadhan yang mulia ini, kita buktikan nilai taqwa kita dengan menjalankan kewajipan kita sebagai seorang hamba kepada Sang Pencipta. Bukannya hamba kepada hamba. Kita akui bahawa puasa itu adalah wajib maka kita laksanakanlah sebaiknya. Jangan sekadar mengungkap taqwa di lisan tapi taqwa hanya tinggal ‘taqwa’.

10 Ramadhan




 






Biar gambar yang 'berbicara'...