Aku jadikan Surah Al-Quran itu Surat CintaMu Ya Allah.. Aku jadikannya teman hidup dimana jua ku berada.. Aku jadikan Solat, talian hubunganku denganMu Ya Allah.. Tatkala rindu syahdu melanda, bisikan Zikir menjadi penawar hatiku.. Ketika sujud, aku memohon agar Kau menerima segala amalanku.. Dalam Tahajud ku bisikan.. Ya Allah, moga Engkau letakkan aku b'sama yg Kau kasihi.. Dan panggilan pulangku, menjadi pertemuan pertamaku denganMu.. Ya ALLAH Kekasihku.. Engkau Yang Satu..

~ Taubat Diriku ~

...ku pasrah atas segalanya...
...ku redha akan ketentuanNya...
...dan kuterima seadanya...


Cinta itu sebenarnya suci.
Hakikat yang sebenarnya, cinta itu suci bersih lagi menyucikan.
Cuma manusia yang mengotorkannya.
Manusia yang menodainya.
Menodai dengan pujukan hawa nafsu.
Dicemari dengan cinta yang yang berpaksikan nafsu semata - mata.
Kerana cintalah terhasilnya para ulama’ dan para wali yakni manusia yang menghampirkan diri kepada Sang Agung.


Cinta itu letaknya di hati.
Hadirnya dari jiwa sanubari yang bersih.
Bagaimana hati hendak memahami rahsia Allah sedangkan dosa diri sendiri masih banyak.
Bertambah sekian hari.
Hati yang tidak takut langsung dalam melakukan pengkhianatan dan terus menerus melakukan dosa.

Tanpa ada rasa kesal, penyesalan dan rasa ingin bertaubat.
Hati yang banyak dosa dikuasai nafsu.
Kita menjadi hamba kepada hamba.
Kita dikuasai oleh nafsu dan nafsu dikuasai oleh syaitan laknatullah.
Itulah hamba kepada hamba.
Biar kita yang mengawal nafsu bukan kita dikawal olehnya.
Nafsu itu berlawanan dengan kehendak Allah s.w.t.
Sesungguhnya Allah Taala berserta kamu dimana jua kamu berada.
Tidak kira tempat waktu dan dalam keadaan apa jua sekalipun.
Katanya, “Sesungguhnya Aku sangat hampir.”



Musibah itu datangnya dari ALLAH, untuk membersihkan dosa noda yang telah kita lakukan sama ada sedar atau tidak sedar, sengaja atau tidak sengaja.
Penghapus titik - titik hitam yang kian bertakhta di hati kita.
Penggerak jasadi dan rohani.

Semakin bersihnya kita daripada dosa - dosa, semakin banyak rahsia Allah dan keagungannya yang mampu kita pelajari dan diketahui kerana cahaya hidayah ( NUR ) semakin terang.
Terangnya dek syukurnya kita akan nikmat Allah yang tidak pernah putus sebagai hambanya.
Walaupun sering kali kita berlaku biadap dengan Sang Pencipta, namun tidak sesekali Dia menyekat segala kurniaan dunia untuk kita.

Namun hakikatnya kita langsung tidak menyatakan tanda syukur kita dengan pemberian Dia.
Egonya manusia yang bertunjangkan hawa nafsu yang durjana.
Durjana yang akan menghunuskan manusia ke lembah api neraka.
Tapi, kasihnya, pemurah dan penyayangnya Allah kerana menyediakan keampunan buat hambanya selagi mana roh di kandung badan.
Ruang pengampunan senantiasa terbuka luas. Hanya kita yang menentukan untuk bertaubat ataupun tidak.


Hati itu sukakan akan yang batin.
Pandanglah wahai mata hati.
Akhirat itu lebih baik.
Manusia selalu mengutamakan dunia kerana hati telah dikuasai nafsu, dipenuhi dosa.
Manusia lupakan akhirat kerana sombong dengan Sang Pencipta.
Wahai diri, bersihkanlah diri kita dari kotoran dosa, hati kita akan riang merdeka.
Bukan sahaja merdeka di dunia ini, malah turut merdeka di sana kelak.
Nafsu akan dikuasai hati.
Tetapan sentuhan hati dan tanyalah iman.
Apakah sudah cukup untuk aku bawa bekalan menemui  Tuan empunya dunia akhirat ini.


Bertaubatlah.
Lari dari DOSA menuju Allah.
Elak dari noda menghampiri Dia.
Allah Taala.

Manis Kata Terhanyut Sudah

Kalam madah bicara… ^_^
Kata indah terpesona.. (^_^)
Lisan manis berkata.. (,”)(“,)




Kata - kata dan kalam bicara sangat memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian tidak kira dari segenap aspek dan sudut. Dewasa dan remaja. Usah dipedulikan ‘kanak - kanak ribena’. Yang ingin ditujukan ialah mukallaf. Walhal kata - kata yang tidak benar jua mampu diakui benar andai petah berbicara dan mampu menarik perhatian di khalayak ramai mahupun di sudut bacaan.


Sama juga dengan para peniaga yang manis katanya ketika jual beli. Begitu juga dengan ahli falsafah dan para ilmuan. Terkadang terpegun dengan kelancaran para pemidato. Tetapi perlu diambil cakna, pastikan apa yang kita pelajari, dengari mendatangkan kebaikan kepada kita. “Banyak cakap banyak bohongnya”. Tetapi andai untuk kebaikan apa salahnya seperti di majlis - majlis ilmu. Masalahnya ialah kebanyakannya tidak menghadiri atau meminati majlis ilmu. Entahlah apa sebab musababnya. 


Mungkin benar kita mudah menyangkal apa yang dikatakan oleh orang lain. Hatta langsung tidak diambil peduli dengan teguran walaupun orang yang selayaknya. Seperti para ulama’ menegur umat melakukan perkara yang makruf. Para guru menegur anak murid supaya beradab sopan. Ibu bapa menegur anak - anak supaya berakhlak mulia. Tetapi kita memandang negatif akan orang yang menghulurkan bantuan kepada kita. Bantuan berbentuk dalaman. Bantuan dengan cara teguran. Membantu untuk memperbaiki diri kita. Kita merasai diri kita ‘perfect’ walaupun sebenarnya tidak seberapa.




Andai diri kita di peringkat remaja belasan tahun ataupun 20-an melakukan kesilapan, mungkin sedar atau tidak sedar orang akan berfikir “anak siapa yang buat perangai begitu” “itu anak siapa” “mak bapak dia siapa” “mak ayah dia tak ajar dia”… secara semulajadi dan kebiasaannya begitu. Itulah realiti masyarakat ‘moden’ kini. Masyarakat tidak memandang akan perangai seseorang tetapi masyarakat akan mempersoalkan siapa ibu bapa dan penjaga. Kalau kita mengungkap kata - kata yang kurang disenangi juga, masyarakat akan mempertikaikan seolah mak ayah tidak mengajar anak - anak.


Padahal salah siapa sebenarnya…???
Mahu dituding pada siapa…???
Siapa yang benar dan siapa yang salah...???
Adakah salah ibu bapa yang mendidik sedari kecil…???
Apakah ia salah guru yang mengajar di sekolah…???
Adakah mahu dipersalahkan penjaga dan pengasuh yang mengasuh anak - anak dari kecil sedangkan ibu bapa sibuk dengan kerjaya sehingga langsung tidak diambil peduli akan hal anak-anak…???


Nilailah sendiri, siapa yang mahu dipersalahkan.

"Mendirikan Masjid"

PERKAHWINAN


“Mengapa perlu berkahwin…??”


Membendung Perbuatan Maksiat

Rasulullah s.a w bersabda yang bermaksud:

"Wahai para pemuda,
barang siapa di antara kamu ada yang telah sanggup berkahwin,
maka berkahwinlah, kerana sesungguhnya berkahwin itu  dapat
menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan.
Tetapi barangsiapa yang belum mampu,
hendaklah ia berpuasa, sebab berpuasa itu sebagai benteng
(dapat menahan nafsu)"

Mata adalah punca segala perbuatan maksiat. Bila pandangan dilepaskan tanpa ada batasan dan terlihat sesuatu yang dapat menarik perhaian ( wajah ) perempuan umpamanya ) nafsu akan bergelodak dan mendorong kepada nafsu syahwat. Pandangan mata ada diumpamakan anak panah yang terlepas dari busar panah iblis, bila mengena pada sasarannya, implikasinya sangat berbahaya dan kemungkinan besarnya akan mengundang kecelakaan yang dinamakan ‘nikmat’…!!!

Untuk menjaga dan memelihara nafsu syahwat agar tidak bergelodak, individu yang tidak mampu berkahwin disarankan dan digalakkan berpuasa, kerana dengan berpuasa,
kadar gelodak nafsu dapat diturunkan.
Andai yang mampu kahwin pula, apa yang nak ditunggu - tunggu lagi,
segerakan menuju ke alam perkahwinan.
Bukan itu sahaja,
pahala dan saham di akhirat kelak jua akan dapat diperolehi.
Bekalan dari dunia dan
keuntungan sebagai persediaan awal di sana kelak.


Sunnah Nabi

Perkahwinan adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w yang patut dicontohi.
Andai difikirkan, adakah kita tidak mahu menuju ke alam ini.
Kemusykilan melanda andai jawapannya adalah ‘tidak’.
Satu tuntutan yang menyempurnakan sebahagian iman seseorang yang bergelar Muslim adalah berkahwin.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Barang siapa yang tidak menyukai sunnahku, ia bukanlah daripada
golonganku. Sebahagian dari sunnahku adalah berkahwin, oleh kerana itu siapa yang mengasihiku hendaklah ia melaksnakan sunnahku".


Mendapatkan Zuriat

Salah satu tujuan berkahwin adalah
untuk mendapat zuriat yang soleh dan solehah.
Dengan memiliki anak yang soleh dan solehah itu ibubapa akan mendapat pahala
yang mengalir dalam kuburnya berkat daripada doa anak-anak.

Oleh itu, didiklah anak-anak sedari kecil lagi
dengan akhlak, dan teladan yang baik,
kerana anak - anak kecil lebih terikut dengan perbuatan berbanding dengan percakapan.


Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Apabila seseorang manusia telah meninggal dunia, maka akan terputuslah semua amalnya kecuali tiga sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan
anak yang soleh yang mendoakan untuknya"

Sekumpulan perempuan datang menghadap Rasulullah s.a.w. untuk
meminta nasihat daripada beliau.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Setiap perempuan di antara kamu yang melahirkan tiga orang anak,
maka mereka (anak-anak itu) akan menjadi penghalang baginya dari api neraka".

Perempuan-perempuan itu bertanya :
"Bagaimana kalau melahirkan dua orang anak?".

Rasulullah s.a.w. menjawab : "Ya, dua orang anak pun demikian juga".


Meramaikan Umat Islam

Bilamana orang Islam berkahwin,
maka akan lahirlah pula generasi yang baru
dan akan meneruskan perjuangan umat Islam. Dengan itu dunia ini tidak akan pernah kosong dari umat Islam.
Digalakkan mempunyai zuriat yang ramai.


Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Berkahwinlah kamu agar dapat melahirkan keturunan.
Sesungguhnya aku akan berbangga pada hari kiamat jika kamu menjadi umat yang paling ramai
(daripada umat - umat lain)".
( Hadis Riwayat Al-Baihaqi )

Allah s.w.t. berfirman :

"Tuhan telah menjadikan dari kamu itu 
pasangan suami isteri dan dari
pasangan suami isteri itu pula lahirnya 
anak - anak dan cucu - cicit
( keturunan yang banyak )."
( An Nahl : 72 )


Gandaan Pahala & Berkat


Ibadah orang yang berkeluarga berbanding dengan ibadah orang yang 
tidak berkeluarga adalah berbeza di segi pahalanya.
Orang yang berkahwin dilipatkaligandakan segala amalan kebajikan yang dilakukan berbanding dengan orang yang tidak berkahwin.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Dua rakaat yang dilakukan oleh orang berkeluarga lebih afdal daripada
tujuh puluh rakaat orang yang hidup membujang".

Di samping itu pahala seorang lelaki didapati pada semua harta
yang digunakannya untuk membelanjai dan menanggung nafkah
isteri dan anak-anak, kerana semua harta, fikiran dan tenaga
yang digunakan untuk menguruskan keluarga dikira
sebagai sedekah.


"Barangsiapa yang membiayai dan menjalani kehidupannya sendiri
dengan niat isti'faf ( tidak meminta-minta belas kasihan orang lain ),
itu adalah sedekah,
dan barang siapa yang membiayai atau menanggung isteri, anak-anak dan sekalian ahli rumahnya adalah sedekah".


Melengkapkan Iman

Iman manusia terkadang naik dan terkadangnya akan menurun.
Naik dan turun.
Melalui perkahwinan sebahagian iman kita akan lengkap.
Andai mampu, segerakanlah menuju ke alam perkahwinan.
Alam baru.. “kehidupan baru..”


Rasulullah s.a.w bersabda :

"Apabila seseorang hamba telah berkahwin, ia telah melengkapkan
separuh daripada agamanya, dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah untuk memenuhi kekosongan sebahagian lagi."
( Hadis Riwayat Al-Baihaqi )

- Ihtimam - Pemimpin -


Suatu ketika Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat selesai melaksanakan solat berjemaah, Umar al Khattab yang ketika itu berada di saf depan berasa terganggu fikirannya. Setiap gerakan Rasulullah s.a.w. di depan para sahabat terasa berat dan sukar. Terdengar bunyi seolah - olah sendi Baginda saling bergesel antara satu sama lain. Solat kali ini terasa lebih lama dari biasa.

Selepas solat, Umar r.a. yang begitu khuatir dengan keadaan Rasulullah lalu mendatangi baginda. Dengan hati-hati Umar duduk di sisi beliau yang serta-merta beliau sambut dengan senyuman. “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah engkau sedang menanggung penderitaan yang sangat berat, sakitkah engkau, ya Rasul..?” tanya Umar. Rasulullah SAW tersenyum sambil menggeleng, “Tidak wahai Umar, Alhamdulilah aku sihat.”

“Mengapa setiap kali engkau menggerakkan tubuhmu, kami mendengar seolah-olah sendi tubuhmu saling bergeselan?” .”Kami yakin engkau sedang sakit wahai Rasul.” Meskipun keadaannya agak lemah dan agak pucat, Rasulullah s.a.w. tetap tersenyum.

Kerana jawapan “tidak” atau “aku baik-baik saja” beliau rasakan sudah tidak cukup lagi, Rasulullah SAW mengangkat jubahnya hingga ke bahagian perut. Seketika itu juga Umar dan sahabat terperanjat. Kelihatan perut Baginda begitu kempis, perut itu dililit oleh kain yang berisi batu kerikil. Kerikil - kerikil inilah yang mengeluarkan bunyi ketikamana Rasulullah mengimami solat.

“Ya Rasul…,” suara Umar bergetar oleh rasa hiba dan penyesalan, “Apakah jika engkau mengatakan sedang lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan menyediakan dan menyiapkannya untuk engkau?”

Beliau menutup kembali perutnya dengan jubahnya seraya menatap Umar “Tidak, ya Umar. Aku tahu, apa jua dan dalam keadaan apa sekalipun kalian akan sanggup berkorban demi aku, akan tetapi apa yang akan aku katakan di hadapan Allah di hari pembalasan kelak nanti jika sebagai pemimpin aku menjadi beban bagi umatku…?”

Beliau beralih pandangan kepada para sahabatnya yang lain seorang demi seorang seraya berkata, “Wahai sahabat - sahabatku, biarlah kelaparan ini sebagai hadiah dari Allah untukku agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia, terlebih di akhirat.”

Subhanallah, siapa pun yang mendengar kalimat beliau terdiam seketika ,ada yang ,menangis teresak terharu. Para sahabat tersentuh dengan kalimah yang keluar dari mulut Rasulullah.

Mahasuci Allah Yang Menjadikan Sesuatu…yang telah mengutus seorang pemimpin yang begitu mulia akhlak dan perkataannya. Alangkah rindunya kita kepada pemimpin sebijaksana Baginda yang tidak mahu membebani umatnya. Kelak pemimpin seperti inilah yang akan dinaungi oleh naungan Allah pada masa tidak ada naungan selain dari-Nya.

 Selawat dan salam ke atas Baginda Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga dan jua para sahabat seluruhnya.

Akan tetapi bagaimana pula dengan masa sekarang…???
Semuanya sudah faham dan fikir-fikirkanlah sendiri…???
Di mana dan bagaimana keadaan kita di hadapan Dia kelak…???
Fikirlah dan renungkan…!!!

April Fool @ April Mop


Tanggal 1 April setiap tahun merupakan salah satu tarikh pilihan yang dinanti - nantikan oleh sebahagian manusia diakui olehku yang mempunyai akal di mana boleh juga digelar berakal oleh sebahagian orang. Yang pastinya bukan semua orang. Kenapa dikatakan sebegitu…??? Kerana orang utan juga digelar orang hanya kerana ada istilah ‘orang’. Sekadar sampingan bacaan sahaja. Usah difikirkan tentang orang utan tapi fikirkan tentang orang yang ‘bernama’ manusia. Ana khususkan buat yang beragama Islam. Islam agamanya. Dikatakan ada akal dan mungkin juga tahu bagaimana caranya hendak menggunakan akalnya. Rasa-rasanya begitulah.

Berbalik kepada isu dan matlamat asal artikel ini iaitu 1 April. Kenapa dibicarakan tentang 1 April. Bukan tarikh lain. Sengaja tarikh ini jadi pilihan untuk artikel kali ini kerana “dalam yang tersurat ada yang tersiratnya…” Kebanyakan manusia akan meraikan tarikh ini dengan senda gurau di pengakhirannya. Pada tarikh inilah manusia akan mencari kaum kerabat atau rakan - rakan untuk dipermainkan sebagai menyambut ‘April Fool’. Apa itu April Fool. Takkan hanya tahu nak menyambut dan meraikannya sahaja tetapi tidak tahu dari mana datangnya istilah ini. Ibarat membabi buta dan membuta tuli walaupun belum ketemu babi yang buta. Yang pastinya siapa yang buta pada hakikatnya…??? Soal diri sendiri, soal hati dan tanyalah iman di dada. Maaf kalau - kalau ada yang tidak selesa dengan istilah dan ayat yang dibicarakan sebentar tadi.

Tarikh ini kebanyakannya diraikan oleh anak - anak muda tidak kurang jua yang bergelar dewasa. Sebabnya April Fool ini tidak dikhususkan buat belia remaja sahaja. Segala macam senda gurau akan terjadi pada tarikh ini hanya kerana keseronokan. Di sini ana nak datangkan sedikit artikel yang banyak terdapat di ruang internet tentang April Fool ini. Peringatan…

Sewaktu zaman persekolahan dahulu, mungkin antara kita pernah terbaca tentang suatu tragedi yang berlaku pada 1hb April ini. Seorang suami yang jahil tentang agama,  telah mengucapkan, 'Aku ceraikan kau dengan talak 3'  pada isterinya dengan niat untuk melawak. Isterinya yang pada mulanya terpinga - pinga terus meraung apabila si suami dengan muka selamba kemudiannya mengucapkan 'April Fool!'. Selepas itu, giliran si suami pula untuk meraung apabila diberitahu bahawa talak yang  dilafazkan telah pun jatuh!!! “

Isu di atas ana peroleh di kebanyakan maklumat tentang April Fool.


“………..“Namun tahukah Anda jika perayaan tersebut sesungguhnya berasal dari sejarah pembantaian tentara Salib terhadap Muslim Spanyol yang memang didahului dengan upaya penipuan? Inilah sejarahnya yang disalin kembali sebagiannya dari buku Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Halloween: So What?
(Rizki Ridyasmara, Pustaka Alkautsar, 2005)”………….”


Peristiwa April Fool yang kebiasaannya  diakhiri dengan kegembiraan dan kepuasan itu sesungguhnya bermula dari satu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. The April’s Fool Day bermula dari satu episod sejarah hitam yang akan dikenang bagi umat yang mengambil tahu akan Islam iaitu tragedi yang menimpa Muslim dan umat Islam Sepanyol. Hakikat yang sebenarnya tarikh ini disambut sempena kejatuhan Islam di Sepanyol. Kejadian ini berlaku pada tahun 1487 M bersamaan dengan 892 H. Tidak ramai yang tahu akan sejarah ini. Kerana sejarah Islam kian dilupakan oleh umat Islam sendiri. Sedih.


Sebelum sampai pada tragedi tersebut, ada baiknya menoleh kembali sejarah Sepanyol dahulu ketika masih di bawah kekuasaan dan pemerintahan Islam.

Sejak dibebaskandan ditakluki  Islam pada abad kelapan Masihi oleh Panglima Islam, Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur - ansur berubah menjadi satu negeri dan kawasan yang makmur dan sejahtera. Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, malah meneruskan dalam penyebaran Islam dan melakukan pembebasan di negeri - negeri di sekitar perjalanan menuju  ke Perancis. Selatan Perancis dengan mudahnya dapat  dibebaskan dan dikuasai Islam. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours, dan sebagainya jatuh ke dalam penaklukan Islam. Walaupun dianggap kuat dan masih gah, pasukan Islam masih memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang merupakan satu kawasan di kawasan pergunungan.

Islam telah hadir dan bertapak malah memberi sinar di Sepanyol. Cahaya Islam yang kian menerangi Sepanyol. Hanya kerana sikap para penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang kemudian dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Muslim Sepanyol bukan semata - mata hanya beragama Islam, namun mereka benar - benar  menjalankan kehidupan mereka dengan kehidupan seorang Muslim. Kehidupan Islamiah. Mereka tidak hanya membaca Al - Quran dan bertadabbur malah mempraktikkan kehidupan mereka dengan ajaran berpandukan  Al-Quran. Mereka menolak keras tentang muzik, minuman keras, pergaulan bebas antara laki dan perempuan dan juga segala macam bentuk larangan yang sememangnya terkandung dalam kitab suci Islam itu, Al Quran. Suasana aman damai dan tenteram itu belaku hampir enam abad lamanya.


Pada masa itu pula kaum kafir yang masih ada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal apa itu erti penat lelah terus berupaya semampunya untuk menghapus dan membersihkan Islam dari Sepanyol, namun segala usaha percubaan mereka gagal. Telah beberapa kali cubaan mereka untuk melenyapkan Islam namun semuanya tidak berhasil.  Maka diambil satu cara dengan menghantar perisik ataupun ‘orang dalam’ untuk mempelajari dan menyelidik sumber kelemahan umat Islam di Sepanyol.  Akhirnya satu jalan dan satu cara yang perlu mereka lakukan untuk melemahkan Islam di Sepanyol adalah dengan melemahkan iman terlebih dahulu melalui serangan pemikiran minda dan budaya. Diterapkan sedikit demi sedikit ke dalam tatasusila umat Islam.

Maka secara diamnya musuh Islam mengirim dan membekalkan alkohol dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik - muzik diperdengarkan untuk membujuk dan menarik golongan muda - mudi agar lebih suka berhibur, bernyanyi dan menari berbanding dengan membaca al -  Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang ditugaskan untuk memecahbelahkan umat Islam Sepanyol. Walaupun mengambil masa yang lama, tuaian hasilnya berbuah. Akhirnya pemerintahan Islam Sepanyol jatuh dan telah dikuasai pasukan tentera Salib. Serangan dan penindasan  oleh tentera Salib benar - benar dilakukan dengan kejam tanpa mengenal erti kemanusiaan. Umat Islam bukan sahaja ditindas dan diperlakukan seperti binatang, malah penduduk tempatan, gadis dan wanita, anak - anak kecil, orang  tua, dan keseluruhannya di tanah Sepanyol diperlakukan dengan kejam dan sadis.

Satu demi satu daerah di Sepanyol jatuh dan diambil alih oleh Kristian, Granada adalah daerah terakhir yang ditakluki musuh Islam itu. Penduduk Islam di Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah masing - masing untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian terus mengejar dan mengasak mereka dengan kepelbagaian cara.

Ketika saat jalan - jalan lenggang dan sepi, yang ada hanyalah mayat yang bergelimpangan yang dipenuhi darah. Darah yang membasahi bumi Sepanyol itu, tentara Salib mengetahui bahawa masih ramai lagi Muslim Granada yang bersembunyi di rumah - rumah. Dengan lantang tentara Salib membuat satu pengumuman, bahawa para Muslim Granada boleh  keluar dari rumah dan tempat persembunyian dengan aman dan diperbolehkan berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang - barang keperluan mereka. Kapal - kapal yang akan membawa mereka keluar dari Sepanyol  dipersiapkan oleh tentera Kristian di pelabuhan. Tentera Kristian juga memberi jaminan keselamatan umat Islam jika ingin keluar dari Sepanyol, setelah ini maka tentera Kristian tidak lagi memberikan jaminan dan bertanggungjawab dengan apa yang akan terjadi. Demikianlah pujuk dan taktik kotor tentara Salib terhadap umat Islam.


Pada awalnya umat Islam masih lagi curiga dengan tawaran ini. Beberapa dari orang Islam dibenarkan untuk melihat sendiri kapal - kapal penumpang yang sudah dipersiapkan di pelabuhan. Setelah benar- benar yakin melihat ada kapal yang sudah dipersiapkan, maka umat Islam segera diminta bersiap untuk meninggalkan Granada bersama – sama. Mereka akan menuju ke kapal - kapal tersebut untuk berlayar pada keesokan hari.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada yang keluar dari rumah masing - masing dengan membawa seluruh barang - barang keperluannya beriringan jalan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai tentara Salib masih bertahan dan terus bersembunyi di rumah dan tempat persembunyian masing - masing. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan cepat tentara Salib menggeledah rumah - rumah yang telah ditinggalkan penghuninya. Lidah api kelihatan membakar  rumah dan api menjulung tinggi di udara. Dari jauh , umat Islam hanya mampu melihat ketika para tentara Salib itu membakari rumah - rumah tersebut bersama orang - orang Islam yang masih bertahan di dalamnya.

Sedang ribuan umat Islam yang tertahan di pelabuhan hanya mampu melihat dan terkejut ketika tentera Salib membakari kapal - kapal yang dikatakan akan membawa mereka keluar dari Sepanyol. Kapal - kapal itu dengan cepatnya tenggelam ke dalam laut. Ribuan umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa kerana sama sekali tidak bersenjata. Mereka juga kebanyakannya terdiri daripada perempuan dan anak-anak yang masih kecil. Sedangkan ketika itu tentara Salib telah bersiap mengepung mereka dengan pedang terhunus.

Dengan satu teriakan dari pemimpinnya, ribuan tentera Salib itu segera membunuh dan menamatkan hayat umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir bersahutan dari segenap pelosok. Dengan buas dan rakus serta sifat kejam, tentara Salib terus membunuh warga tua yang sama sekali tidak berdaya.

Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan sekejam - kejamnya. Darah kelihatan mengalir dan bertakung di mana – mana sahaja . Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman. Tragedi ini bertepatan dengan tanggal  1 April. Inilah tarikh yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian setiap tanggal 1 April sebagai April Mop ( The April’s Fool Day ).
Bagi umat Islam April Fool tentu merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara - saudaranya seiman dengan kita disembelih dan dibunuh sekejamnya oleh tentara Salib di Granada, Sepanyol.


“...................Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia sebagai April Fool's Day. Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini turut meraikan April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan beramai - ramai saudara se-Islam mereka sendiri.

Semoga Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita………………….”

Oleh sebab itu adalah sangat tidak wajar bagi kita yang bergelar Muslim meraikan tradisi ini. Orang yang meraikan tradisi ini seolah-olah sengaja mahu mempermainkan dan menghina agama Islam itu sendiri. Kini orang Islam sendiri yang lebih cenderung untuk menghina Islam berbanding orang lain. Hanya Islam pada namanya sahaja. Disebabkan peristiwa di atas tadi, umat Islam diperbodohkan dan dibunuh, dihina dan dikeji, sedangkan umat lain hanya tertawa sahaja. Apakah peranan kita dalam situasi ini. Mungkin kita tidak pernah merasai suasana sebegitu namun demikian adakah ada sedikit rasa belas ihsan dan kesedaran diri dalam jiwa kita. Andai umat lain meraikan kematian dan pembunuhan umat Islam beramai-ramai, adakah kita yang bergelar Islam juga mahu meraikannya. Andaikan peristiwa ini kembali berulang di tempat kita, di tanah lahirnya kita, di tanah nenek moyang kita, apa yang akan kita lakukan…???