Aku jadikan Surah Al-Quran itu Surat CintaMu Ya Allah.. Aku jadikannya teman hidup dimana jua ku berada.. Aku jadikan Solat, talian hubunganku denganMu Ya Allah.. Tatkala rindu syahdu melanda, bisikan Zikir menjadi penawar hatiku.. Ketika sujud, aku memohon agar Kau menerima segala amalanku.. Dalam Tahajud ku bisikan.. Ya Allah, moga Engkau letakkan aku b'sama yg Kau kasihi.. Dan panggilan pulangku, menjadi pertemuan pertamaku denganMu.. Ya ALLAH Kekasihku.. Engkau Yang Satu..

~MakSiAt~


Syarat Melakukan Maksiat  :-

1.     Andai ingin melakukan maksiat kepada Dia, jangan kamu makan rezekiNya
2.     Andai ingin melakukan maksiat, janganlah kamu tinggal di atas muka bumi Allah ini.
3.     Andai mahu melakukan maksiat, buatlah maksiat di mana - mana sahaja yang tidak dapat dilihat oleh Allah Taala.
4.     Andai masih mahu melakukan maksiat, lakukanlah akan tetapi bila mana datangnya Sang Izrail malaikat pencabut nyawa kepada kamu, khabarkan padanya supaya dia tangguhkan saat kematian kamu.
5.     Andai datangnya kepada kamu Malaikat Zabaniyah di akhirat kelak untuk mengheret kamu ke neraka, janganlah kamu mengikutinya. Elakkanlah. ( seumpamanya )


Hiduplah Sesuka hatimu,
Sesungguhnya kamu pasti akan mati.
Cintai siapa saja yang kamu senangi,
Sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya.
Lakukan apa saja yang kamu kehendaki,
Sesungguhnya kamu akan memperoleh balasannya.

Tidak ada kebaikan bagi pembicaraan kecuali dengan amalan.
Tidak ada kebaikan bagi harta kecuali dengan kedermawaan.
Tidak ada kebaikan bagi sahabat kecuali dengan kesetiaan.
Tidak ada kebaikan bagi sedekah kecuali niat yang ikhlas.
Tidak ada kebaikan bagi kehidupan kecuali kesihatan dan keamanan.

Manusia sering kali melakukan salah dan silap tidak kira sama ada kita sedar atau tidak sedar, sengaja atau tidak sengaja. Maka segerakanlah kembali bertaubat padaNya. Nabi Muhammad yang maksum yang sudah terjamin jaminannya sebagai ahli syurga juga bertaubat kepada Allah apatah lagi kita yang penuh dengan debu-debu dosa lantaran alpa dengan nikmat dunia.


Sabda Rasulullah s.a.w. mafhumnya :-

“Bertaubatlah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya aku pun bertaubat padanya seratus kali sehari..”  ( Ada yang mengatakan tujuh puluh kali sehari )

Kita pula bagaimana…?? Berapa kali kita bertaubat dan menyebut nama Allah dalam seharian kita..??
Sebut nama Allah pun disebabkan sembahyang… kalau tak qeti bahasa nak sembahyang nak habaq kut mana pulak. Jahanam habis punah dunia.

Nasihat Bijaksana

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Sembahlah Allah dan janganlah kamu sekalian mempersekutukan dengan sesuatu. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya”.
( Surah An-Nisa’ : 36 )

“Silaturahim itu memanjangkan usia dan meluaskan rezeki…”



Menghubungkan silaturahim adalah perkara wajib bagi makhluk yang bergelar insan muslim dan memutuskannya adalah haram dan termasuk dalam golongan orang yang mendapat laknat Allah s.w.t. Dalam menghubungkan silaturahim sesama manusia, kita digalakkan berbuat baik antara satu sama lain. Andai mampu dan berkesempatan, tiada salahnya kalau menghulurkan bantuan, hadiah, menziarahinya, mendoakannya dan sebagainya. Segala macam cara mampu untuk menjalinkan hubungan sesama manusia ini. Asalkan bukan atas niat yang buruk.

Apa gunanya kita melaksanakan solat tetapi pada masa yang sama kita memutuskan hubungan silaturahim. Dalaman yang penuh dengan hasad perasaan dengki dan meluat yang bertapak di sanubari. Muka bertandang selalu di surau, masjid, majilis ilmu dan dalam masa yang sama menjadi batu api dalam memutuskan hubungan sesama manusia. Semua ini tidak mustahil di dunia realiti kita pada masa kini. Hatta kawan baik sekalipun mampu diduga dengan 1001 syak wasangka. Apatah lagi dengan kawan yang belum kita kenali sepenuhnya. Selalu yang didengari adalah daripada kawan rapat, teman mesra , rakan baik. Bukan hendak berburuk sangka dengan sesiapa tetapi itulah kenyataannya. Bahkan ahli serumah di antara kawan-kawan pun boleh ‘tarik muka’ apatah lagi yang pernah terluka dan berdendam. Kawan yang sudah kenali sekian lama pun mampu menikam dari belakang.


Dalam hal ini, Islam telah mengajar kita cara untuk menangani tentang suatu berita yang datang kepada kita. Apa yang perlu kita lakukan bila mana mendengar dan dikhabari dengan sesuatu hal. Adakah hendak membuta saja. Siasatlah terlebih agar tiada kemudharatan pada masa akan datang. Mencegah lebih baik daripada berubat.

Andai kita perhatikan manusia di sekeliling kita, kita akan dapati semuanya salah dan hanya kita sahaja yang benar belaka. Itulah hakikat manusia yang mempunyai ‘hati’ dan ‘akal’. Tidak pernah nampak salah  sendiri, hanya nampak salah silap orang lain. Akan tetapi, bila mana sudah ternyata benar, terang lagi bersuluh seseorang itu salah dan silap dalam melakukan sesuatu maka tegurlah dengan cara yang bijak, berhemah dan berhikmah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan dengan tutur kata yang baik.”
( Surah An-Nahl  : 125 )

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan suatu kemungkaran maka tegurlah dengan tangan ( kuasa ), andai tidak mampu maka tegurilah dengan lisan, andai tidak mampu maka tegurilah dengan hati. Dan itulah selemah - lemah iman.”



Menegur dengan tangan beerti apabila kamu diberi satu ‘kuasa’ iaitu tangungjwab sebagai seorang pemimpin. Maka gunakanlah kuasa yang ada pada kalian untuk menegur. Menegur dengan lisan pula, semuanya sudah maklum dan menegur dengan hati beerti kita membenci akan sesuatu kemaksiatan yang terjadi. Takkan hendak membenci sahaja, maka doakanlah  buat mereka yang tersadung langkah dalam kehidupan itu. Mudahan pintu hati terbuka dalam melaksanakan kebaikan. Sekurangnya ada juga saham kita di akhirat kelak. Biarpun kecil, tetap dinilai di sisi Allah s.w.t.

Ada kalanya kita terpaksa menegur dalam hati sahaja. Bukan beerti takut untuk menegur tapi sebagai langkah berjaga dan berwaspada andai ada kemudharatan buat diri kita.

Menegur dengan lidah juga perlu diambil kira, kadang salah orang yang menegur juga. Tegur ikut suka hati saja. Tegur orang macamlah dunia ini dia yang punya.  Tegur tidak kena gaya. Masalah juga dengan orang macam ini. Kalau nak menegur orang sekalipun tegurlah dengan cara yang kena pada tempat dan keadaan dan bergantung pada individu yang ingin ditegur. Semuanya berpaksikan iman dan akal, bukan diperhambakan dengan nafsu yang berkocak. Dan sengaja menegur supaya dikatakan hebat di depan orang lain. Itu pun kalau tiada masalah. Silap hari bulan, orang yang ditegur kena pulang paku keras. Ada masanya perlu ditegur di depan orang dan ada masanya ditegur secara individu. Jangan hendak main hentam keromo.

“Islam Dilihat Pada Akhlaknya”


Sesungguhnya amalan nasihat menasihati sekiranya dilakukan dengan cara yang betul boleh mengeratkan hubungan silaturahim. Apa salahnya kalau menggunakan bahasa yang lembut dan bersopan. Bukan penakut atau bacul tapi sebagai langkah permulaan bagi seorang da’ie, itulah yang ana fikirkan. Ataupun dengan cara kiasan dan sindiran. Dalam bergurau senda juga boleh kita menegur sesama kita. Ada sesetengah orang, bisa juga bila berbicara. Tegur dengan ayat yang mendalam.  Sebab itulah lidah ini dikatakan lebih tajam dari mata pedang. Akan tetapi tidak menjadi kesalahan andai dalam melakukan kebaikan di sisi agama Islam.

“Kalau hang pikiaq hang dah dapat jaminan ahli syurga,
punya pasai hang la nak buat apa pun..”


Sebuah hadis daripada Abu Wail Syaqiq berkata : Ibnu Mas’ud biasa memberi nasihat kepada kami setiap hari Khamis, kemudian ada seseorang berkata kepadanya : Wahai Abu Abdurrahman saya amat senang hati kiranya engkau mahu memberi nasihat kepada kami setiap hari. Ibnu Mas’ud menjawab: Sebenarnya tidak ada yang menghalangi saya untuk memberi nasihat setiap hari melainkan saya bimbang kamu semua akan menjadi bosan. Saya sengaja menjarangkan waktu untuk memberi nasihat sepertimana Rasulullah SAW juga menjarangkan kepada kami kerana Baginda bimbang kalau kami merasa bosan.

Pasrah & Redha

Aku minta kepada Tuhan setangkai bunga segar, Dia berikan aku kaktus berduri...

Aku minta kupu-kupu yang cantik, diberiNya aku akan ulat bulu...

Aku pasrah, sedih, dan kecewa kerana apa yang aku hajati, apa yang aku harapkan tidak aku milki...

Namun kemudian, kaktus itu berbunga, indah sekali...
Subhanallah...

Dan ulat itupun menjadi kupu-kupu yang cantik...
Maha SuciMu Ya Rabb...

Itulah jalan dan aturan Allah, indah pada tempat dan saatnya...
Dia tidak memberi apa yang kita harapkan, akan tetapi Dia memberi apa yang kita perlukan...

Begitulah jua dengan diri kita...
Adakalanya kita sedih, kecewa hatta terluka dengan kehidupan kita ini...
Sedih akan serba kekurangan yang akan pada diri...
Kecewa bilamana penat lelah kita tidak mendatangkan hasil sepertimana yang kita mahukan...
Pasrah dengan ujian yang kita sangkakan terlalu berat untuk kita pikul...
Terluka apabila kita dipandang dengan pandangan yang tidak kita senangi...


Tapi jauh di atas sana...
Nun di suatu tempat yang tidak kita jangkaui, Dia telah menetapkan sesuatu yang terbaik buat diri kita...
Dia telah mengatur segala akan sesuatu buat hamba-hambaNya di dunia ini...

Pengaturcaraan yang terbaik diantara yang terbaik...
Seiring dan semampu dengan keadaan kita...
Hanya berserah dan tawakal kepada Sang Pencipta...
Di samping dengan usaha dan doa yang menjadi 'titipan' di bibir kita...
Tidak kering akan nikmat syukur dan 'Alhamdulilah' dalam kehidupan hayat kita...
Mudah dan ringan untuk menyebutnya,
tapi berapa ramai yang melafazkan kalimah suci ini...

Andai menerima musibah baru dikenang akan Tuhan...
Bila menerima nikmat tidak tahu nak mensyukurinya...
Ego...

Segalanya sudah dicatatkan dan diaturkanNya...
Seiring dengan pengabdian kita pada Yang Esa...
Semuanya hanya kerana satu,
Kerana kita hanyalah seorang hamba...


Berapa ramai yang mendoakan kesejahteraan Nabi Muhammad s.a.w. dan seisinya...
Berapa ramai yang mengharapkan hidupnya seperti hidup para ulama'..ilmunya seperti ilmu para auliya..matinya seperti matinya para syuhada'...
Andai tidak mampu menjadi hebat seperti ulama', tidak mampu mencapai tahap auliya', tak terdaya untuk menjadi seorang syuhada'...
Tidak salah untuk berusaha menuju ke arahnya...
Berapa ramai yang meminta untuk kesejahteraan Ummah dan Islam...
Berapa ramai yang memohon akan pintu kebaikan...
Berapa ramai yang berdoa supaya matinya ia dalam pengakhiran yang baik, husnul khatimah ; hembusan nafas terakhir dengan kalimah syahadah...

(,")(",)

Take Fire


Rejab bulan menabur benih.
Syaaban bulan menyiram tanaman.
Ramadhan bulan menuai.


Rejab menyucikan badannya.
Syaaban menyucikan hatinya.
Ramadhan menyucikan rohnya.


Rejab bulan maghfirah.
Syaaban bulan syafaat.
Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.



Rejab bulan taubat.
Syaaban bulan muhibbah.
Ramadhan dilimpahi pahala amalan seperti hujan mencurah banyaknya.





Rejab diganda 70 pahala.
Syaaban diganda 700 pahala.
Ramadhan diganda 1000 pahala.

Manfaatkan Hayatmu ~Rejab~

Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala Qalam.




Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya. 


Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari Syurga


Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirat di hari kiamat.
( dipermudahkan tika malalui titian sirat )


Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya. 


Bulan Rejab Syahrullah ( Bulan Allah ), diampunkan dosa bagi sesiapa yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Apabila berpuasa di bulan Rejab, wajib baginya: 


* Diampunkan dosanya yang lalu. 
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal. 
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat. 




Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah setiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sesiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat baginya seribu darjat, dihapus seribu kejahatan. 


Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina baginya sebuah mahligai yang mempunyai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada sinaran matahari seribu kali. 


Bulan Rejab adalah bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab, dijauhkan Allah baginya daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan Malaikat dengan panji - panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada umat yang terpilih yakni umat Muhammad s.a.w.


Allah menjawap : Telah aku ampunkan mereka...! Barangsiapa meminta ampun ( bersitighfar ) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab diharamkan tubuhnya daripada api neraka. 


Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya : 
"Telah wajib hakmu atas Aku, maka mintalah olehmu kepada Aku. Demi ketinggian Aku dan kebesaran Aku, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiran Aku dibawah `arasy Aku, engkau kekasih Aku daripada segala makhluk Aku, engkau terlebih mulia atas Aku. Sukakanlah bagi kamu, tiada dinding antara Aku dan antara kamu".
( dari kitab Raudatul Ifkar ) 


Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seumpama berpuasa seribu tahun pahalanya, kerana kebesaran hari Israk Mikraj. 


Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kepayahan dan kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab, dikurniakan Allah kepadanya akan mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus. 


Siapa berpuasa tiga hari di dalam bulan Rejab dan beribadat pada malamnya ( berqiamullail ) , pahalanya seperti dia berpuasa tiga ribu tahun. 


Diampunkan baginya 70 dosa - dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat saat keluar nyawa daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf ( ketika Qur'an dinaik ketika berlalu di Titi Sirat ; jaminan ). 


Rejab ertinya ta'zim ( kebesaran, keagungan, kemuliaan, rahmat, pemurah, kebajikan ). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu maka Allah melimpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan maghfirahNya terhadap hambaNya yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya. 


Demikianlah betapa istimewanya keagungan bulan Rejab itu sendiri yang dinamakan dengan bulan Allah




Apakah kita telah bersedia untuk merebut peluang ini....???
Apakah hanya menantikan tika usia kita sudah lanjut...???
Andai ditanya "apakah yang kamu lakukan di saat usia remajamu" di akhirat kelak, mampukah engkau dapat menjawabnya...???
Manfaatkannya sebelum di'mampat'kan...


Ayuh semua, kita bangun sedar dari mimpi yang panjang sebelum kita 'bermimpi' hingga kita bangun di 'saat' nya...



Bulan Allah ~Rejab~

Bulan yang mulia yakni 'Bulan Allah' kembali lagi. Kembali membawa sinar dan harapan bagi orang yang menantikan maghfirahNya. Selaut kesyukuran ku panjatkan buat Engkau dan Selawat dan Salam ke atas junjungan Agung Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga Baginda seisinya, para sahabat dan umat Islam seluruhnya. Alhamdulillah andai kiranya dapat aku merasai lagi dan dapat lagi aku bernafas di atas muka bumi di dunia pinjaman ini. Pujian buatMu Yang Maha Esa dapat lagi 'menyentuh' bulanMu yakni bulan Rejab. Ku harapkan agar aku diberi kesempatan untuk bertaubat dan diberi peluang buatku dan ummah seluruhnya. Masing-masing dengan salah silap dan dosa yang tidak penah lekang, yang tidak pernah renggang daripada jasad kami. Janji yang telah diungkap oleh iblis laknatullah dalam menyesatkan bani Adam seluruhnya. Dari zaman berzaman. Makhluk yang tidak tahu erti penat lelahnya dalam menyesat dan menghapuskan Iman dan Taqwa yang bertahta di hati sanubari manusia yang bergelar Muslim.




Malang dan sedih bagi manusia yang mengaku Islam dirinya tetapi andai ditanya "Bilakah Rejab" "Bilakah Syaaban" dan "Bilakah Ramadhan"....jawapannya hanya "entah" "tak tahu". Lebih biadap lagi bilamana ada jawapan "tengoklah sendiri dalam kalendar" "tak pernah ambik tahu". Bukankah kurang ajar namanya. Opss, silap..!!! Bukan kurang ajar tapi 'terlebih ajar'. Sebab belajar terlebih tidak kena gaya maka beginilah jadinya.


Andai dulu para sahabat Rasullullah senantiasa menantikan detik dan saat bulan mulia ini, akan tetapi kita pada zaman 'maju' kini hanya risau bila hampirnya kita dengan Ramadhan. Entahlah apa puncanya..Fikir-fikirkan...




Apabila minat menjadi 'stalker' di dunia IT, segala macam yang dapat diperolehi samada sengaja atau tidak. Ayuh wahai para muslimin muslimat dan manusia seisinya tidak kira agamanya Islam atau tidak, sama-sama kita kongsi. Ana katakan sebegini kerana Islam hanya tinggal Islam sahaja. Sedih. 


Apa yang baik datangnya daripada Allah, yang kurang dan yang lemah adalah daripada hamba yang sememangnya 'miskin lagi dhaif'.


Sabda Nabi s.a.w. : "Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat."


Sabda Nabi s.a.w. : "Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya'aban bulanku dan bulan Ramadhan bulan umatku." 


Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJ nya, Sya'ban dengan malam NISFU nya dan Ramadhan dengan LAILATUL QADAR nya. 


**************************************************************



Malam awal Rejab mustajab doanya.
( Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi


* Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi ( Firdaus )


* Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya. 


* Puasa tiga hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang menghalang dia daripada menjerumuskan diri ke dalam neraka
( panjangnya setahun perjalanan )


* Puasa empat hari pada bulan Rejab dielakkan daripada bala dan daripada penyakit yang berat dan dijauhkan daripada fitnah Dajal di hari kiamat. 


* Puasa lima hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur. 


* Puasa enam hari pada bulan Rejab, apabila keluar kubur maka bercahayalah mukanya. 


* Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu neraka. 


* Puasa lapan hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga. 


* Puasa sembilan hari pada bulan Rejab, keluar dari kuburnya lalu mengucap ia akan dua kalimah syahadah maka tidak ditolak dia untuk masuk ke dalam syurga. 


* Puasa 10 hari pada bulan Rejab, Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titian Sirat pada tiap-tiap satu batu di hari kiamat
( dipermudahkan laluan sirat ).


* Puasa 16 belas hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga. 


* Puasa 19 belas hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s. 


* Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggi daripada umurnya
( pembaharuan umur, seperti bayi yang baru lahir ).




Berkata Saidina Ali: 


* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun. 
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun. 
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.