Aku jadikan Surah Al-Quran itu Surat CintaMu Ya Allah.. Aku jadikannya teman hidup dimana jua ku berada.. Aku jadikan Solat, talian hubunganku denganMu Ya Allah.. Tatkala rindu syahdu melanda, bisikan Zikir menjadi penawar hatiku.. Ketika sujud, aku memohon agar Kau menerima segala amalanku.. Dalam Tahajud ku bisikan.. Ya Allah, moga Engkau letakkan aku b'sama yg Kau kasihi.. Dan panggilan pulangku, menjadi pertemuan pertamaku denganMu.. Ya ALLAH Kekasihku.. Engkau Yang Satu..

~Hadapkan Wajahmu~

Sesekali diadakan "ijabati' da'ie" di rumah antara jemaah, rakan taulan dan sahabat perjuangan. Sudah menjadi kebiasaan bagi anak-anak rantau di sini hidup berkeluarga seperti ini. Suatu ketika diadakan di rumah sendiri dan apabila sudah selesai majlis, menjadi kebiasaan istirahah sambil 'bermunaqashah' antara satu sama lain. Dari satu tajuk ke satu tajuk. Beralih topik dan bicara. Adakala dengan nada tinggi, terkadang dengan nada yang rendah. Biasalah keadaan sebegitu. Ana sekadar mendengar sahaja perbualan rakan seperjuangan sehinggalah satu persoalan yang ana dengar...


"Kalau kita orang Islam kata orang bukan Islam sembah batu. Sebabnya tokong dan kuil itu tuhan mereka, macam mana pula kalau orang bukan Islam tanyakan soalan yang sama kepada kita, orang Islam. Kaabah juga binaan dari batu. Orang Islam pun sama jugalah, sembah batu."



Persoalan ini berlegar di pemikiran ana. Kalau duduk bersahaja dan tidak melakukan apa-apa, inilah diantara persoalan yang selalu ana fikirkan. Sekian lama. Hampir setengah tahun juga. Mencari jawapan dan terus mencari namun tiada ketemu. Kadang-kadang ana fikirkan juga, bagaimana soalan seumpama ini ditanyakan kepada orang Islam, dan lebih-lebih lagi kalau ditujukan soalan sebegini kepada ana. Mahu tak terkedu nak menjawabnya. Puas memikirkan jawapan yang sesuai untuk dijawab. Ana langsung tidak tahu.


Sehinggalah suatu ketika ana 'merantau' di dunia 'alam maya' dan ana ketemu satu jawapan kepada persoalan ana ini. Setelah sekian lamanya barulah terjumpa. Syukran diucapkan kepada seorang 'mujahidah'. Dan di sini ana datangkan keterangan ataupun komen yang berkaitan tentang persoalan yang di awal tadi.


Sekadar perkongsian bersama. Lain orang lain jawapannya akan tetapi ana tertarik dengan jawapan ini. Andai ada yang tidak bersetuju dengan ana, ana tidak kisah sekalipun, ana bukan mengganggu sesiapa pun. Ana cuma kongsikan apa yang ana dapat sahaja. Lagi pula, ilmu ini bukan milik ana. Milik Allah Taala. Kenapa mahu sombong dengan ilmu yang Allah Taala pinjamkan kepada kita. Ilmu yang ada pada kita kalau dihimpunkan kesemuanya sekali terlalu kecil nilainya dengan ilmu Allah Taala. Ilmu Yang Maha Luas. Subhanallah...(^_^)


Sama-sama kita renungkan dan ambil 'ibrah dari kenyataan ini.......




"Kenapa orang Islam sembah bangunan kain hitam tu?"


"Oh.. itu Kaabah atau nama lainnya Baitullah"


"Baitullah tu apa?"


"Secara terjemahan mudah maknanya Rumah Allah"


"Allah ada dalam tu?"


"Tak.."


"Jadi, kenapa sembah bangunan tu kalau Allah tak ada dalam tu?"


"Yang saya sembah bukannya bangunan tu.."


"Kamu sembah apa?"


"Saya sembah Allah swt"


"Jadi, kenapa sembah bangunan tu?"


"Saya menghadap sahaja ke arah Kaabah tetapi saya tak sembah Kaabah.."


"Bukankah kamu sujud ke arah Kaabah, maknanya kamu sembah Kaabah la.."


"Kamu pernah tgk perlawanan bola dalam TV?"


"Pernah.. selalu.."


"Kamu tengok tv ke tengok perlawanan bola?"


"Tengok perlawanan bola la.."


"Di mana?"


"Dalam tv la.."


"Cuba buka tv tu, tengok di dalamnya ada stadium dan perlawanan bola ke tak.."


"Memanglah tak ada.. tapi itukan gambarnya ada.."


"Bukalah dalam tv, tengok ada ke tak gambar perlawanan bola dalam tu.."


"So..?"


"Maknanya kamu tengok tv, bukan perlawanan bola.. betul tak?"


"Tak.. aku tengok perlawanan bola la melaui tv tu.."


"Peliknya.."


"Sebab apa pulak pelik?"


"Ye la, kau cakap tengok perlawanan bola, sedangkan aku tengok dalam tv tu tak ada apa-apa.. yg ada hanya wayar je berselirat.."


"Memanglah dalam tv tu ada banyak wayar, tapi tv tu menayangkan gambar-gambar perlawanan bola dalamnya.."


"Hurm.. jadi tak peliklah ni..?"


"Ya.. tak pelik.."


"Jadi tak pelik jugalah aku sujud ke arah Kaabah untuk menyembah Allah swt.. walau pun dalam Kaabah tak ada Allah.."


"Erk.. kau betul.."



************************************************

‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’

Wahai guru yang dikasihi,
Engkaulah pelita diri ini,
Menerangi hati nurani,
Moga dirimu dirahmati

Ya ALLAH piliharalah guruku,
Agar dipimpin terus hambaMu,
Agar terhindar dari Neraka,
Moga dibukakan pintu Syurga

Tak terbalas jasamu
Berkorban jiwa raga
Mendidik anak bangsa
Jadi insan berguna

Keikhlasan di hati
Hulur bakti dan budi
Kau penyambung warisan
Ilmu cahaya hati

Ampunkanlah wahai guruku,
Kesilapan anak-anakmu,
Ku serahkan jiwa ragaku,
Agar terdidik nafsu liarku

Dengan izin Allahu Rabbi,
Engkaulah guru yang sejati,
Engkau bersabar mendidik kami,
Semoga dirimu diberkati

Datang dengan harapan,
Pulang bawa kejayaan,
Anugerah yang diimpikan

Andai dapat ku putarkan masa, ingin sahaja aku kembali ke zaman persekolahan. Bukan di alam remaja tetapi di zaman kanak-kanak. Ingin sahaja aku kembali ke zaman kanak-kanak sekolah rendah. Di situlah aku mengenal apa itu persahatan. Di situlah terjalinnya kasih sayang antara kawan-kawan. Dan situlah aku perolehi akan segalanya di dunia kanak-kanak. Sebahagian besar hidupku yang aku habiskan di sekolah merupakan saat dan detik yang tak dapat aku lupakan. Detik ini, ingin sahaja aku kembali. Akan tetapi, semuanya hanya tinggal kenangan. Mustahil untuk aku kembali ke saat itu.


Andai diberi peluang, aku lebih rela kembali ke zaman sekolah rendah daripada zaman sekolah menengah. Kerana di sekolah rendah aku dapat segala macam apa yang aku harapkan. Walaupun baru kini aku sedari dari 'tidur' yang lama. Apa jua sekalipun, di zaman persekolahan, aku merasai jua apa itu jasa dan pengorbanan seorang guru. Sedari kecil lagi aku dapat merasai kehidupan seorang guru. Bukan aku yang menjadi guru. Tetapi ayahku yang menjadi guru. Mengajar di sekolah. Kalau di rumah, emak dan ayah aku adalah guru aku. Guru yang terbaik di kalangan yang terbaik. Mengasuh, mendidik dan mengajar segala macam yang tidak pernah aku fikirkan. Segala macam perit aku dapat daripada seorang guru yang bernama Abdul Rahim Md. Noor. Segala macam ilmu yang aku perolehi darinya. Ilmu di dunia lelaki. Dan ilmu tentang pengorbanan dan ilmu tentang kehidupan pula aku perolehi dari seorang pembimbing yang setia, yang tidak jemu apa itu erti kesusahan...Normah binti Shafie. Dua orang guru yang tidak dapat aku lupakan sepanjang hayat hidupku walaupun nyawa menjadi taruhannya. Mengajar dan mendidik aku untuk menjadi seorang insan. 




Hakikatnya, guru dikalangan manusia yang teragung tidak lain dan tidak bukan adalah Muhammad s.a.w. Ada yang mahu membangkang dengan pernyataan ini...???"DIPERSILAKAN...!!!"


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
(^_^)(^_^)


Selamat Hari Guru...
16 Mei setiap tahun merupakan hari yang diraikan sebagai Hari Guru bagi kebanyakan tempat. Ini sebagai mengenang jasa budi baik guru-guru yang telah mendidik kita sedari kecil di tadika, PASTI, sekolah rendah dan sekolah menengah atau seumpamanya. Tidak kira di mana sahaja kita menuntut ilmu, yang pastinya daripada seorang guru. Hatta daripada guru yang berlainan bangsa dan agama. Mereka tetap seorang guru. Walaupun mengajar satu huruf sahaja. Mengajar mengenal huruf dan angka. Daripada buta huruf hingga mampu membaca novel. Dan tidak lupa juga dengan kalimah suci, Al Quran. Daripada buta kepada celik. Betapa besarnya jasa dan pengorbanan mereka. 


Akan tetapi apakah yang telah kita balas akan segala susah payah mereka dalam mendidik dan membimbing kita. Apakah kita telah memberikan satu detik kebahagiaan buat guru-guru kita. Sedari kecil lagi, pelbagai macam ragam dan kerenah yang telah kita tonjolkan buat guru-guru kita. Tidak dengar cakap, degil, keras kepala. Tetapi tidak kisahlah andai kita berkelakuan sebegitu, kerana sudah menjdi lumrah kanak-kanak bersikap demikian. Jangan salahkan anak-anak andai suatu ketika nanti kita sendiri yang akan mengalami suasana sebegitu. Inilah fitrah yang Allah Taala tetapkan. Sekurangnya mampu mendidik jiwa kita sendiri, apa itu erti kesabaran. Sepanjang dunia pengajian kita, adakah kita telah capai redha guru kita ketika mana kita menuntut ilmu dengan mereka. Adakah cukup dengan kejayaan yang kita pamerkan buat mereka sudah mampu menjamin kita mendapat redha dan restu mereka. 


Sebahagian besar kehidupan kita dihabiskan di sekolah, dan 'ibubapa' kita di sekolah berperanan mengasuh, mendidik dan mengajar kita tentang kehidupan. Apa itu erti kehidupan. Kehidupan di luar rumah. Setelah mana berjauhan dari keluarga dan di situlah kita memperolehi 'keluarga' yang ramai ahlinya. 




Apa tujuannya kita menyambut Hari Guru...???
Adakah terikut dengan 'festival' yang seringkali diadakan setiap tahun...???


Andai hari ini dikatakan untuk memperingati jasa-jasa guru, bagaimana pula dengan hari-hari yang lain. Adakah hari lain boleh 'memporak-perandakan' kredibiliti seorang guru. Adakah itu yang kita mahukan. Di mana syaksiah kita sebagai anak murid ataupun bekas pelajar. Haruskah ini yang kita balasi buat mereka.


Tidak salah andai ingin meraikan hari yang berbahagia ini, malahan seeloknya diraikan selalu. Bukannya perlu diadakan majlis-majlis seumpamanya. Kita meraikan majlis ini dengan tadahan doa merufu'kan kesyukuran. Kita mendoakan buat guru-guru kita. Berapa ramai yang mendoakan untuk guru-guru mereka sendiri di dalam doa selepasa solat. Itupun kalau sempat untuk duduk berwirid dan berdoa. Kalau tidak, masakan manusia ini tergolong dalam golongan yang angkuh. Tidak dinafikan kita seringkali mendoakan untuk ibubapa di dalam doa selepas solat mahupun ketika solat. Dan mungkin selepas ini kita melebihkan lagi dalam bacaan doa kita untuk memohon dan berdoa kepada Sang Agung untuk guru-guru kita. Ibubapa kita juga guru kepada kita. Itu sudah semestinya. Hanya yang mahu mengakui kebenarannya sahaja. Kalau difikir-fikirkan tidak mahu mengakuinya, apakan daya si penulis untuk menghalang. Cuma mengharapkan yang terbaik diantara yang terbaik.


Perlulah diingatkan, kita lahir dari sehelai kain yang suci bersih. Dan ibubapa kita yang mencorakkan kehidupan kita sehinggalah kita mencapai masanya. Kemudian kita yang akan mewarnakan kehidupan kita dengan warna-warna yang kita sendiri warnai. Belajar dari seseorang walaupun dengan ilmu yang sedikit, andai tidak dapat restu dan redha, tiada gunanya kita berjaya di dunia ini. Apa yang kita harapkan adalah kejayaan duniawi ukhrawi. Ilmu di dunia inilah yang akan menjamin kita, yang akan menentukan kita, siapa kita di hadapan Allah Taala di akhirat kelak.




Sehebat mana sekalipun seseorang itu, fikirkanlah dari mana datangnya 'kehebatan' itu. Daripada tunjuk ajar dari seorang guru. GURU...!!!

Majlis Akad Nikah Di Masjid




Allah SWT berfirman yang bermaksud : 


"Sesungguhnya orang yang layak memakmurkan ( menghidupkan)  masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, ( dengan adanya sifat-sifat itu ), maka adalah diharapkan mereka menjadi sebahagian golongan yang mendapat petunjuk”. 
( Surah at-Taubah : Ayat 17 )


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Dalam konteks tegahan atau larangan, terdapat dua jenis larangan. Pertama, makruh iaitu orang yang meninggalkannya mendapat pahala manakala orang yang mengerjakannya tidak mendapat apa-apa. Kedua, haram iaitu orang yang meninggalkannya mendapat pahala dan orang yang mengerjakannya mendapat dosa atau balasan.




Hakikatnya, tidak ada ayat al-Quran dan hadis yang melarang untuk menjalankan akad nikah di masjid. Akad nikah adalah termasuk perkara ibadat. Munakahat. Justeru, ia sesuai juga diadakan di masjid. Mudah - mudahan bertambah akan keberkatan dengan memulakan sesuatu kebaikan di tempat yang paling baik dan mulia. Sekurangnya bilamana dilakukan di masjid, terdetik jua untuk hadir ke masjid. Adakah kita hanya mahu hadir ke masjid di saat kematian kita sahaja. Itupun dikira bagus andai masjid dan tanah masjid masih mampu untuk menerima jasad kita. Jasad tanpa roh. Bagaimana pula andai masjid dan tanah masjid tidak mahu menerima kehadiran kita. Semasa hayat kita, kita sombong untuk menghadirkan diri ke masjid. Tidak kisahlah, andai tidak mahu ke masjid ketika hayat di kandung badan sekalipun, akan tetapi akan tetap hadir jua ke masjid di saat pengakhirannya. Yang lebih 'hebat'nya buat si mayat ini, hadir ke masjid berada di 'saf' yang hadapan sekali. 


Bagaimanapun, perlulah dijaga adab tatasusila apabila berada dalam masjid agar kehormatan dan kemuliaan masjid terpelihara. ini kerana masjid juga dinamakan dengan nama 'Rumah Allah'. apakah kita mahu bersikap biadap apabila menghdirkan diri kita ke rumah Tuan kita. tidak malukah kita bersikap ego apabila menjadi tetamu. Tidak tahu malu namanya. Tidak sedar diri. Antara adabnya iaitu senantiasa berada dalam keadaan menutup aurat, seeloknya zahirkan diri kita dengan air sembahyang yakni wuduk apa bila ingin memakmurkan masjid, menghormati orang lain yang melakukan solat atau membaca al - Quran, menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, jangan membuat bising sehingga menghilangkan kesucian masjid, menggangu orang lain dan sebagainya. Apabila masuk masjid, bacalah doa memasuki masjid. Manis kiranya kita menunaikan solat tahiyatul masjid apabila menjejakkan kaki ke dalam masjid. Tetapi sayangnya, hanya sebahagian sahaja yang melaukannya. seolah terasa berat untuk melakukan solat dua rakaat.




Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Agung dan Yang Maha Mulia dan Kekuasaan-Nya yang berkekalan daripada syaitan yang direjam.


Hairannya manusia ini terasa berat untuk menjejakkan kakinya ke masjid tetapi lebih hairan apabila terasa ringan kakinya untuk melangkah pergi menuju ke pasar malam. Masjid di depan mata tak terjejak kakinya akan tetapi pasar malam yang nun jauh di sana sanggup dicapai.


Hairannya manusia apabila terasa lengah untuk berdiri seketika untuk menunaikan solat walaupun dua rakaat akan tetapi lebih hairan apabila tidak langsung terasa lengahnya bediri berjam - jam ketika berjalan - jalan di pasaraya, di tempat membeli - belah.


Hairannya manusia apabila mudah terasa bosan apabila membuka kita suci al-Quran ; hanya mengambil masa yang singkat sahaja untuk menghayatinya akan tetapi lebih hairannya apabila tidak langsung terasa bosan apabila berada di hadapan komputer riba dan seumpamanya dalam tempoh yang agak lama. Leka dengan 'dunia fantasi'.



Peringatan buat bersama...!!!

Seorang Pemimpin

Keperibadian Rasulullah s.a.w.
Memikat Jiwa Sanubari Pengemis Buta Yahudi

( gambar sekadar hiasan )

“Wahai saudaraku! Jangan engkau dekati Muhammad itu. Dia orang gila. Dia pembohong. Dia tukang sihir. Jika engkau mendekatinya, engkau akan dipengaruhinya dan engkau akan menjadi seperti dia,” kata seorang pengemis buta Yahudi berulang - ulang kali di satu sudut pasar di Madinah pada setiap pagi sambil tangannya menadah meminta belas orang yang lalu – lalang di hadapannya.

Orang yang lalu - lalang di pasar itu ada yang menghulurkan sedekah kerana kasihan malah ada juga yang tidak mempedulikannya langsung.

Pada setiap pagi, kata - kata penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W. itu tidak lekang daripada mulutnya seolah - olah mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dengan ajaran Rasulullah SAW. Seperti biasa juga, Rasulullah S.A.W. ke pasar Madinah. Apabila baginda sampai, baginda terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya dengan lembut dan bersopan tanpa berkata apa - apa.

Pengemis buta Yahudi yang tidak pernah bertanya siapakah yang menyuapkan itu begitu berselera sekali apabila ada orang yang baik hati memberi dan menyuapkan makanan ke mulutnya.

Perbuatan baginda itu dilakukannya setiap hari sehinggalah baginda wafat. Sejak kewafatan baginda, tidak ada sesiapa yang sudi menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu setiap pagi.

Pada satu pagi, Saidina Abu Bakar r.a. pergi ke rumah anaknya, Siti Aisyah yang juga merupakan isteri Rasulullah S.A.W. untuk bertanyakan sesuatu kepadanya.

“Wahai anakku Aisyah, apakah kebiasaan yang Muhammad lakukan yang aku tidak lakukan?”, tanya Saidina Abu Bakar r.a. sebaik duduk di dalam rumah Aisyah.

“Ayahandaku, boleh dikatakan apa sahaja yang Rasulullah lakukan, ayahanda telah lakukan kecuali satu,” beritahu Aisyah sambil melayan ayahandanya dengan hidangan yang tersedia.

“Apakah dia wahai anakku, Aisyah?”

“Setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi di satu sudut di pasar Madinah dan menyuapkan makanan ke mulutnya. Sejak pemergian Rasulullah, sudah tentu tidak ada sesiapa lagi yang menyuapkan makanan kepada pengemis itu,” beritahu Aisyah kepada ayahandanya seolah - olah kasihan dengan nasib pengemis itu.

“Kalau begitu, ayahanda akan lakukan seperti apa yang Muhammad lakukan setiap pagi. Kamu sediakanlah makanan yang selalu dibawa oleh Muhammad untuk pengemis itu,” beritahu Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.

Pada keesokan harinya, Saidina Abu Bakar ra membawakan makanan yang sama seperti apa yang Rasulullah SAW bawakan untuk pengemis itu sebelum ini. Setelah puas mencari, akhirnya beliau bertemu juga dengan pengemis buta itu. Saidina Abu Bakar r.a. segera menghampiri dan terus menyuapkan makanan ke mulut pengemis itu.

“Hei… Siapakah kamu..? Berani kamu menyuapku..?” Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar r.a. Pengemis buta itu terasa lain benar perbuatan Saidina Abu Bakar r.a. kerana dia merasakan orang lain yang menyuapkannya.

“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,” jawab Saidina Abu Bakar r.a. sambil memerhatikan wajah pengemis buta itu yang nampak marah.

( gambar sekadar hiasan )

“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Perbuatan orang itu terlalu lembut dan bersopan. Aku dapat merasakannya, dia terlebih dahulu akan menghaluskan makanan itu terlebih dahulu. Dia akan mengunyah terlebih dahulu makanan di dalam mulutnya kemudian barulah disuapkan ke mulutku. Ini untuk memudahkan aku menelannya. Tapi kali ini aku terasa sangat susah aku hendak menelannya,” balas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Saidina Abu Bakar r.a. yang masih memegang makanan itu.

“Ya, aku mengaku. Aku bukan orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,” beritahu Saidina Abu Bakar r.a. sambil mengesat air matanya yang sedih.

“Tetapi ke manakah perginya orang itu dan siapakah dia?”, tanya pengemis buta itu kehairanan dan penuh persoalan.

“Dia ialah Muhammad Rasulullah S.A.W. Dia telah kembali ke rahmatullah. Beliau telah wafat dan telah menghadap Tuhan Sekalian Alam. Sebab itulah aku yang menggantikan tempatnya,” jelas Saidina Abu Bakar r.a. dengan harapan pengemis itu berpuas hati.

“Dia Muhammad Rasulullah?”, kata pengemis itu dengan suara yang terkedu seraya terkejut.

“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia.” beritahu Saidina Abu Bakar r.a. Dengan tidak semena - mena pengemis itu menangis sepuas – puas hendaknya.

Setelah agak reda, barulah dia bersuara.

“Benarkah dia Muhammad Rasulullah?”, pengemis buta itu mengulangi pertanyaannya seolah - olah tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya itu.

“Ya benar. Kamu tidak percaya?”

“Selama ini aku menghinanya, aku memfitnahnya, aku mencacinya, tetapi dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia terus juga menyuap makanan ke mulutku dengan sopan dan lembut. Sekarang aku telah kehilangannya sebelum sempat memohon ampun kepadanya,” ujar pengemis itu sambil menangis teresak - esak.

“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa dengan manusia semulia itu selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,” beritahu Saidina Abu Bakar r.a.

“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.

( gambar sekadar hiasan )

Selepas peristiwa itu, pengemis itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar r.a. Keperibadian Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui Esa Nya Allah.

*******************************************************************


Hebatnya, agungnya dan mulianya akhlak Rasulullah sehinggakan mampu menyentuh sanubari manusia sesudah wafatnya Baginda. Mampu memberi kesedaran kepada orang lain. Walaupun sekadar akhlak dan perangai.

Bagaimana pula dengan kita..???