Aku jadikan Surah Al-Quran itu Surat CintaMu Ya Allah.. Aku jadikannya teman hidup dimana jua ku berada.. Aku jadikan Solat, talian hubunganku denganMu Ya Allah.. Tatkala rindu syahdu melanda, bisikan Zikir menjadi penawar hatiku.. Ketika sujud, aku memohon agar Kau menerima segala amalanku.. Dalam Tahajud ku bisikan.. Ya Allah, moga Engkau letakkan aku b'sama yg Kau kasihi.. Dan panggilan pulangku, menjadi pertemuan pertamaku denganMu.. Ya ALLAH Kekasihku.. Engkau Yang Satu..

Salam Wida'

Ego manusia masih lagi menggunung tinggi walaupun di bulan mulia ini. Apa tidaknya, saat ‘pintu syurga’ yang terbuka luasnya masih ada lagi yang tidak endah dengannya hatta masih ada yang bersikap ingin ‘menutup’ akan ‘pintu syurga’ itu. Jadi, nikmat mana lagi wahai makhluk kerdil ingin dikau pertikaikan…???

Takabbur manusia yang ingin ‘membuka’ akan ‘pintu neraka’ yang telah Dia tutupkan serapatnya di bulan Ramadhan ini. Bahang bahana dan bala di dunia sementara ini seringkali dikeluh kesah apatah lagi azab neraka yang entah bagaiman perit pedihnya. “Nikmat mana lagi yang ingin dipersoalkan lagi..???”

Saat syaitan iblis laknatullah dibelenggu sepanjang Ramadhan ini, masih ada lagi yang ingin ‘menjejak’ dan ‘bersikap’ seperti kaum durjana ini. Bahkan ada lagi yang lebih hina dan mencampakkan kehinaan pada diri sendiri. Makhluk terkutuk dirantai daripada menghasut keturunan Adam dan Hawa di bulan yang dimuliakan ini namun sebahagian manusia pula yang cuba mengambil alih ‘tugas’ makhluk durjana ini.
Bahagia benar syaitan iblis kerana sudah ada ‘pengikut’ setianya.

Nafsu yang tidak dirantai tidak dihalang tidak terbelenggu biarpun datangnya Ramadhan. Segala macam nafsu bersarang dalam jiwa-jiwa manusia. Jiwa yang sekian lamanya berputik sifat mazmumah sedikit demi sedikit. Hinggakan sampai satu tahap melampaui batas merentasi sempadannya.

Tidak hairan bila ada makhluk yang mengaku sebagai Tuhan seperti Firaun..
Tidak pelik bila mana ada yang berani mengaku sebagai nabi dan utusan Allah sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w..
Tidak kurang yang mengaku sebagai Imam Mahdi.

“..Bila iman menjadi taruhan..”



Dan kini…

Ramadhan 1437H bakal meninggalkan kita. Bersiap sedia pergi untuk kesekian kalinya. Apakah kan ketemu lagi selepas 11 bulan mendatang. Apa yang kita raikan buat ‘tetamu’ agung kita ini. Pada awalnya diberi kesempatan untuk memperoleh akan rahmat Allah swt. Kemudiannya pula pada fatrah yang kedua kita diberi peluang supaya diampunkan oleh-Nya. Maghfirah. Dan bila masa masuknya fatrah yang terakhir, pastinya kita mengharapkan pembebasan daripada seksaan dan azabnya neraka Allah Taala.

Sayangnya hanya segelintir makhluk sahaja yang mengambil peluang dan kesempatan yang singkat selama sebulan ini. Tidak kurang juga yang sekadar “…terawih tu menda sunat ja pun...”. Ya, amalan sunat yang hanya diberi penilaian oleh Allah. Amalan yang tiada pada umat yang terdahulu. Namun, ganjarannya hanya Dia sahaja yang mengetahui.

Macamlah terawih ada pada bulan-bulan selain dari Ramadhan.

Bukti kasih sayang Allah Taala kepada umat Nabi Muhammad saw, maka diberi satu bulan yang penuh dengan kelebihan berbanding umat yang terdahulu. Diberi pula akan suatu malam yang bertuah. Malam ‘cabutan bertuah’. Semestinya lailatul qadr. Hanya yang terpilih sahaja mampu merasai nikmatnya. Nikmat ‘kehidupan’ dunia selama 1000 bulan.

Ramadhan itu..
Tetap bertandang..
Biar dirinya sedar tidak dipeduli..
Biarpun sedar diri tak diendahkan..
Datang ia tidak pernah mengeluh..
Bertandang ia tanpa keluh kesah..
Hadirnya penuh berkat..
Hadir ia bersama rahmat..
Apakah kita peroleh syafaat..
Menjadi pembela di hari akhirat..

Ramadhan 1437H

Fatrah pertama daripada tiga fatrah di bulan Ramadhan telah pun berlalu. Fatrah yang di awalnya adalah fatrah kerahmatan. Rahmat Allah s.w.t. di bulan yang mulia ini. Meninggalkan kehidupan sedikit demi sedikit memakan masa tanpa disedari oleh kaum umat manusia sejagat.

Di awalnya adalah rahmat iaitu kasih sayang..
Di pertengahannya adalah maghfirah iaitu keampunan..
Dan di penghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka..

“..Ketika mana datangnya bulan Ramadhan maka dibuka seluas - luasnya akan pintu - pintu syurga dan ditutup serapatnya akan pintu - pintu neraka dan dirantai , dibelenggu syaitan iblis Taghut dan seangkatan dengannya..”

Maka dengan nikmat mana lagi kita sebagai ummah akhir zaman ingin mendustakannya. Betapa agung dan pemurahnya sifat kasih sayang Allah Taala ke atas umat Nabi Muhammad saw, umat kekasihNya. Nikmat yang tidak putus kunjung tiba saat hidup dan mati kita, saat hembusan nafas pinjaman ini, saat tiap denyutan nadi dan jantung yang tiada henti kecuali mati. Mati yang bukan sementara.


Mati yang mana terputus segala urusan dunia.

(^_^)

'Guru'

"..Terima Kasih Wahai Anak-anak Syurga.."

16 Mei saban tahun menjadi satu tarikh keramat dan menjadi satu tarikh pilihan sebagai meraikan satu hari yang dikhususkan buat warga pendidik. Hari Guru.

Satu hari dan tarikh khusus dalam meraikan seribu satu pengorbanan dan tunjuk ajar dari seorang yang bergelar ‘guru’. Seribu satu…???? Oh tidak.. Sudah pastinya lebih tak terkira. Tidak semuanya mengharapkan balasan dari apa yang dilaksanakan sebagai seorang guru. Bahkan jua sebagai seorang pendidik.

Terlintas kata-kata seorang ‘pejuang’ dan ‘murabbi’.. “moga anak-anak yang ditarbiyah ini menjadi saham di akhirat kelak, di padang Mahsyar sana nanti..” Jauh lintasan hati dan sasarannya. Tiada pernah yang terlintas tentang percaturan ini. Entah dari mana datangnya ‘kekuatan’ dan ‘semangat’ diri yang bersarang di jiwanya.

Seorang ibu dan seorang ayah..’our parents’ adalah diantara yang terawal menjadi guru kita dalam kehidupan. Berapa ramai yang menjadikan ibu bapa sebagai ‘guru’ dalam kehidupan sedari kecil lagi.

Mengasuh, mendidik, mengajar akan erti kehidupan.
Jatuh kita, mereka bersama kita untuk bangun bersama.
Akan kala, kita dibiarkan terkapai sendirian.
Apakah itu tandanya ibu bapa sebagai guru mengabaikan kita.
Itulah salah satu didikan yang ibu bapa kita serapkan tanpa kita sedari.
Didikan supaya kita betah untuk bangun sesudah jatuh.
Tanpa mengharapkan pertolongan saban waktu.
Tanpa mengharapkan belas ihsan.
Sampai bila kita perlu mengharapkan yang lainnya.
Saat tiba masanya, kita perlu belajar untuk memujuk hati sendiri.

Walaupun sedemikian,
hati masih ego menunjang langit membongkak lagi angkuh.
Ibu bapa dan mereka yang pernah menjadi guru biarpun satu ilmu, menjadi ‘orang luar’.
Betapa sembongnya mendada diri dihadapan mereka.
Tidak kenang dan sedar diri siapa mereka sebenarnya.
Hilang rasa hormat dan harga diri bila nafsu menguasai diri.
Guru yang mengajar suatu ketika dulu menjadi ‘buangan’ hidup.

Biar tohmahan dan kata-kata diberi.
‘Seorang’ guru tetap tersenyum dengan dua ulas bibir mungilnya.
Melihatkan anak didiknya berjaya di menara gading.
Beroleh kehidupan yang hebat darinya.
Senyuman yang tidak lekang dari wajah ‘berusianya’.

Apa yang ada tiada disyukuri.
Apa yang tiada sering dipersoalkan.

Dalam masa yang sama, jangan alpa dan lupa bahawa guru yang terbaik diantara yang terbaik tidak lain dan tidak bukan semestinya Rasulullah. Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. adalah guru, murabbi dan pendidik yang terbaik. Baginda yang terpilih menerima ajaran secara ‘direct’ daripada Sang Agung, Tuhan Sekalian Alam. Allah s.w.t.
Mak (^_^) 'Mak Mertua'

Tanpa mereka, siapakah kita di hari ini..
Di manakah tapak kita yang kita jejak kini..


Laugh & Love

Kemanisan dan kenikmatan dalam kehidupan itu sangat indah sehingga mampu menyebabkan kelalaian tanpa disedari kerana fantasi yang melebihi realiti. Namun demikian, semua itu terhapus terputus manis nikmatnya saat datangnya malakul maut.

Datang kunjung tiba tanpa jemputan. Apakah datang dengan ‘senyuman’ ataupun sebaliknya. Apakah saat berpisahnya nyawa dari jasad pinjaman ini dengan ‘senyuman’ mahupun penderitaan. Hanya mampu dirasai saat tibanya sakaratul maut. Waktu , keadaan dan tempat yang sebagaimana tika sakaratul maut itu tidak diketahui.

“…Masihkah ada ruang taubat pada saat tika itu…”

Hiduplah sebagaimana yang kamu suka tapi perlu diingati bahawa apa yang kamu lalui itu segalanya satu ‘permainan’. Permainan yang tidak pernah lari dari keseronokan duniawi bak fantasi. Biarlah ‘keseronokan’ sementara itu sekadar lapangan untuk mengutip serba sedikit pengalaman hidup di dunia fantasi ini. Sebelum tibanya kita di ‘kampung halaman’ yang kekal abadi. Bersiagalah ‘bekalan’ kita dalam menuju berhadapan dengan mizan-Nya.

Mampukah kita menjejakkan kaki di ‘kampung halaman’ nun di sana…

Mampu tanpa aral , hikmah dari ketaatan dan kepatuhan di dunia…

Mampu bersama ‘kesan’ keegoisan saat kelalaian di dunia…


'Kehidupan'

Memasuki bulan Rejab pada kali ini berkesinabungan dengan pelbagai ujian kehidupan. Dengan keadaan dunia yang tidak menentu. Dengan ragam manusia yang tiada jawapan tepat. Dunia kini yang semakin lama semakin hipokrit dengan percaturannya. Di hadapan lain di belakang pula lainnya. Belum lagi berkelompok dan berkumpulan. Segalanya umpama mainan samudera.

Hidup mana yang tiada masalah..
Manusia mana yang tiada masalah..
Mereka yang tiada masalah jua bermasalah..
Masalahnya tiada masalah..
Apakah itu hanya fantasi khayalan semata - mata atau realiti kenyataan..

Tertarik dengan ungkapan insan cerdik pandai. “..absorb the pressure..” . Ya, benar sekali, serap tekanan itu dan suka ana katakan di sini supaya tekanan yang diserap itu diolah menjadi satu kekuatan dalaman diri untuk membantu dan menguatkan rohani dan isu dalaman. Hati. Perasaan.

‘Cantik’ andainya hati dan perasaan sesudah diproses itu menjadi bersih dan jernih dari prasangka yang tak diduga seiring sejalan bersesuaian pada caranya. Kena pada cara penyuciannya. Namun begitu, hakikat yang diketahui bahawa bukan mudah menjadikan prasangka itu jernih tulus mulus sepenuhnya. Akan wujud juga sedetik sebesar zarah sekalipun.

Tiada salah andai ada rasa berkeinginan mencuba ke arahnya..


Astaghfirullah..


Bumi Tarbiyah

Dalam kesibukan diri menjalani tugasan dan amanah yang dipertanggungjawabkan, masih ada lagi urusan sampingan yang tidak dapat diketepi. Urusan duniawi dan urusan ukhrawi perlu diseimbangi dalam menuju dunia hakiki di sana kelak.

Apa pun yang terjadi, setiap tingkah laku dan perlakuan kita samada perbuatan dan percakapan akan menjadi satu persoalan yang akan dirungkai satu demi satu. Satu persatu. Mana mungkin setiap derap langkah dan hembusan nafas kita terlepas dari pemerhatianNya. Subhanallah.

Amanah di ‘Planet MMY’ menjadi persinggahan sementara dalam meneruskan kelangsungan hidup insani. Medan di mana 1001 kenangan terimbau kembali. Mengimbas kembali sejarah dan imbauan 12 tahun, 13 tahun dahulu.

Setiap langkah di sini ada sejarahnya yang tersingkap serba satu. Suatu fenomema yang sukar ditafsir dengan lisan. Namun tidak mustahil untuk dirungkai dengan penghayatan. Manis pahit bicara. Manis pahit perlakuan. Manis pahit kenangan di bumi barakah ini sukar untuk ditangkis sepenuhnya biar pernah suatu ketika terkilan seribu bahasa bersama ‘derita’.

Dahulunya kepimpinan diteladani dan dipimpin di sini. Kepimpinan yang bersikap adil bukannya persamaan semata-mata. Kini dakwah tarbiyah kerohanian disemai semakin menujah ke kalbu sanubari. Penghayatan kerohanian dibajai sedari awal lagi. Sedari kaki bertapak masuk ke sini. Ada kemanisannya tersendiri.

Perubahan demi perubahan..
Seiring sejajar dengan pusingan waktu..
Pantasnya masa berlalu tanpa disedari..
Dunia realiti yang menjadi kenangan abadi..
Abadi sepanjang zaman..



Diskusi & Imtihan

Fatrah imtihan, fatrah peperiksaan bakal bermula tidak lama lagi. Ada yang sudah menjengah ke medannya. Masing-masing dengan jadual sendiri. Belajar dan ‘belajar’ dari segenap penjuru. Dari setiap aspek dan setiap cabang. Tidak kurang dengan sendirian dan diskusi bersama.

Usaha dan ikhtiar beriringan dengan istiqamah dan doa dipanjatkan kepada-Nya.

Pengorbanan diperlukan. Berjuang dan berusaha di ‘dataran perjuangan’. Lapangan yang datang silih berganti. Pencapaian dan tahap jua berubah setara dengan tandingannya. Dari bawah menuju ke atas. Silap percaturan, kembali ke asalnya.

Setiap usaha ada hasilnya, sepadan dengan apa yang kita lakukan, apa yang kita laksanakan, apa yang kita pertaruhkan selama mana kita bersiaga mempersiapkan diri menuju ke kamar medan perjuangan.

Teringat satu ungkapan dari seseorang tidak lama dahulu…

“…ngaji agama tapi dalam exam boleh pulak bincang dan meniru, tak dak guna kalau macam tu, tak dak berkat…”  - seumpamanya -

Hala tuju dan impian masing-masing dalam menggenggam sebuah kejayaan. Segulung ijazah adalah salah satu wacana dalam peroleh sebuah kejayaan. Kejayaan yang diimpikan setiap yang bergelar ‘penuntut ilmu’.

Ilmu yang diperolehi moga-moga tidak dipersia dan terabai. Ada ‘calar’nya tika mana tersasar dari ‘laluan’nya. Kurang dan lebih, silap dan salah, benar dan hakiki, adakala dipertikai. Namun begitu, ambillah manfaatnya.


“..Andai tidak mampu memperolehi semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya..”

****************************************

'Rezeki Dalam Rezeki'

Alhamdulillah ^_^
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Terima kasih buat 'kalian' yang banyak membantu

Moga ditetapkan iman di atas jalan agamaNya
Diberi kekuatan dalam kehidupan seharian
Dibukakan pintu hati dalam menerima Islam dan dan seisinya dalam ketaatan padaNya
Dipermudahkan urusan duniawi ukhrawi
Diterangkan hati dalam hadapi imtihan yang menjadi ukuran dunia ini
Mudahan ada barakahNya dalam setiap derap langkah
Moga-moga sama kita semua 'najah' dunia akhirat
InsyaAllah ^_^

06 Rejab 1436H


06 Rejab 1410 H - 06 Rejab 1436 H

Satu tarikh yang baru sahaja berlalu. Genap usiaku  mengikut kalendar Islam dalam dunia kehidupan seusai lamanya kelahiran yang pantas masa berlalu. Bertambahnya umur ini membuatkan tempoh dalam melaksanakan ibadah makin berkurang. Apatah pula diri ini terasa noda dan dosa kerana salah dan silap yang tidak pernah terlepas dari saban waktu. Terkadang perbuatan yang dianggap remeh menjadi berat, dan perbuatan yang berat cuba diambil remeh. Fitrah insani dalam diri ini yang mengenali kerdilnya sikap dan peribadi.

Usia yang kian meningkat banyak mengajar diri tentang ‘dunia kehidupan’ yang sebenarnya. Bukan mudah merentasi ‘lapangan’ dan hamparan dunia yang tidak pernah hilang akan cabaran, ujian dan ketahanan diri. Bahkan juga mental dan rohani juga terasa tercabar dengan sesuatu perihal. Masakan tidak dengan ragam dan kerenah manusia yang ‘membabi buta dan membuta tuli’. Bersifat ego dan keras kepala, belum lagi dengan idealnya bongkak dan angkuh dengan diri yang entah apa-apa.

Sudah sedari akan silap tapi masih meneruskan gahnya bersandiwara dengan ‘topeng’ hipokrit. Makan dalam. Kiasan dan mimik dikatakan sindiran. Teguran ucap kata dikatakan tiada adab. Sudah sedar tentang diri, masih tiada perubahan yang baik. Bahkan ‘sandiwara’ dan ‘cerekarama’ makin terasa suamnya.

Dalam bermonolog sendirian, terlintas di fikiran akan ‘attitude’ sebahagian manusia. Sebahagiannya sahaja. Mencari ‘penyedap’ saat memerlukan dan bila dah temui ‘nikmatnya’, hilang dan ‘ghaib’ penyedap itu. Begitu juga dengan sifat manusia. Tanpa lapisan, pandai mencari bila ‘berhajat’. Bila dan dipenuhi hajatnya. Yang memenuhi hajat menjadi tunggul semata-mata. Tunggul…!!!

Tunggul yang menjadi tempat bergantung ‘bersama’ sementara. Saat diberi keselesaan, senyuman manis terukir. Saat peroleh yang lebih ‘manis’, tunggul yang menjadi kebergantungan menanti masa untuk diinjak dan diketepikan. Ops, sudahpun terjadi sedemikian rupa. Nasiblah dikau wahai ‘tunggul’. Mencari saat perlu dan berhajat. Dilempar dan dibuang bila menjadi ‘penghadang’.


~ Aku Lelah Dalam Diam, Bisu Aku Kerana Letih ~

Puas dan puas mencari jalan penyelesaian.
Entah bila kan dapat ku temui ‘pintu’ keluar letihnya aku, lelahnya rohaniku…

Apakah masih ada…???

~ Imbauan Haramain * Sahabat ~


Dua tahun berlalu sudah akan tetapi setiap kenangan yang berlaku dan terjadi masih segar utuh di ingatan. Kenangan yang seringkali menjadi sinar harapan yang pasti untuk ku kecapi namun entah bila masanya nan tiba lagi. Sinar yang tidak akan pudar biar hidup dimamah usia.  Siapa sangka kenangan yang dilalui dan dirasai dua tahun lepas terasa bagaikan semalam.

…‘Sakinah’ dan ‘Mawaddah’ dalam mencari ‘Mardhiah’…

Buat pertama kali ku jejak di sana, terasa nyaman dan aman mengisi ‘kekosongan’ diri. Mustahil untuk ku perolehi di lain tempatnya sama seperti di sana. Dalam masa yang sama diri yang hina malu untuk menyembah Yang Esa di bumi dan tanah bertuah itu. Apakah layaknya diri yang penuh noda ini bertatih di hadapan-Mu ya Allah, Tuhan Sekalian Alam. Kerdil rasanya hamba yang lemah berteleku mengadap Ilahi.

***************************



Apatah pula dengan pertemuan dengan seseorang yang layak ku gelar sahabat. Mencarimu bagai mencari mutiara di dasar lautan. Merapu sudah . Macam lirik lagu pula. Abaikan. Ya, pertemuan dengannya di Tanah Suci Haramain setelah bertahun sudah berpisah di Ardhul Kinanah. Ku jangka pertemuan kembali bertemu di tanah air Malaysia tapi apakan daya suratan-Nya lebih indah mengatasi segala.

Dalam kesibukan bermuamalat dan berdiskusi akan pelajaran dan kehidupan di sana, sempat lagi dia meluangkan masa, mencuri masa untuk ketemu. Mencari peluang bersemuka ketemu di pintu masuk masjid Nabawi saat petang menjengah. Masih seperti dulu, wajah yang tidak pernah lekang dari senyuman. ( tak hairan la ramai yang menjadikan menantu ^_^ )

Pertemuan awal yang cukup singkat sekadar bertukar senyuman dan sapa mesra. Kunjung bersama dalam ‘program’ dan ‘etika’. Hingga menjejak langkah ke bumi seribu menara. Masa yang singkat dimanfaat bersama yang lainnya. Ada yang ‘laqa’ sikit-sikit perkara biasalah kan... dunia remaja.. Remaja la sangat.

Dalam diam ku pelajari sikapnya yang bersahaja dan cara teguran dan pelajarannya. Terasa jurang yang cukup ketara. ‘Senior’ katakan. Lebih mengenali dunia seisinya berbanding diri ini.

Terima kasih atas segala tunjuk ajar dan ‘disiplin diri’ buat diri ini.

- teringat kenangan di ‘7E’ tengah malam buta..

- kenangan ‘tazkirah padu’ di ruangan pintu masuk ‘rumah Kedah’ bersama Caq Mansoury

Monolog Diri , Suara Hati Insani

Bismillah, Dengan Nama – Mu ya Allah..
Segala puji bagi Allah s.w.t. Tuhan Sekalian Alam..
Maha Agung lagi Maha Tinggi dari segalanya..
Selawat dan salam ke atas junjungan agung lagi mulia, kekasih - Nya yakni Nabi Muhammad s.a.w. penutup sekalian nabi dan rasul..
Kesejahteraan buat ahli keluarga Baginda Rasulallah, ulul Azmi dan jua buat para sahabat r.a. seluruhnya..
Tidak ketinggalan buat para tabi’ tabi’in..
Para alim ‘ulama, para cendekiawan Islam dan para syuhada’..
Buat mereka yang memnyebarkan risalah “Nurul Huda” di persada seantero dunia..
Membangun bersama berjuang demi agama nan suci, Islam..
Muslimin Muslimat Mu’minin Mu’minat..

**********************************************************************

Dua nikmat selepas kemanisan Iman, Islam dan Ihsan yang mana terbina rukun agama buat manusia insan kerdil di hadapan Sang Pencipta iaitu nikmat sihat tubuh badan biarpun dari segi rohani dan jasmani, dan jua nikmat masa lapang dan luas yang sering terabai dan terasing bila kesenangan dan kemewahan merangkul diri mencengkam jasad pinjaman sehingga leka dengan fatamorgana dunia.

Syukur dan redha atas “…pinjaman tidak berbayar..” buat insan kerdil ini setelah sekian lamanya menghirup udara tanpa ada sekatan. Biar sesekali terasa nyawa di akhirnya. Terfikir saban waktu, “..apakah hari ini adalah hari terakhirku…??? “ Syahadah dan wudu’ menjadi ‘teman’ saat ‘kematian yang sementara’ sambil memikirkan dosa noda yang entah terampun oleh - Nya atau tidak. Memikirkan salah silap sesama makhluk yang berat sekali meyakinkan diri bahawa diri ini dimaafi oleh mereka yang pernah mengenali diri ini biar seketika sedetik waktu.

Beban yang tertanggung sekian lama, acapkali terasa tidak mampu dipikul namun digagahinya jua dengan hiasan senyuman diukirkan di dua ulas bibir. Tidak mampu terluah dengan lisan adakala termaktub dengan tulisan. Hidup diteruskan hatta…

“…tidak ada beban yang berat jika Allah mengkehendaki beban berat anda menjadi ringan,
tidak ada penderitaan jika Allah mengkehendaki menjadi kebahagiaan…”

Terima kasih akan kata - kata ‘penghidupan semula’ ini. Senyuman mampu diukir saat menerimanya. Siapa sangka makna yang mendalam bagi mereka yang kian pudar sinar cahaya. Letih dengan permainan dunia.

Letih dengan ragam manusia. Pendam segala apa yang ingin dibicara. Pendam segala yang ingin dikata. Pendam apa yang ingin diluah. Tidak mampu untuk diucap dengan lidah, dengan lisan. Memikirkan apa yang bakal keluar dianggap sebagai satu beban buat mereka. Dianggap sebagai satu tohmahan. Apa mungkin dianggap sebagai gangguan…???

Hati memendam segala perit. Memendam segala jerih. Mencari ruang untuk bersendiri. Berbicara dan berbisik seorang diri. Bicara dalam mimpi yang entah bila kan jadi realiti. Bila sudah letih berhadapan seorang diri, puas menyembah bumi menangisi kerdil dan lemahnya keupayaan diri. Sujud menghadap Ilahi sambil ‘mutiara jernih’ menitis ke bumi terkenangkan dosa insani apakah diampuni.

Tahun yang mengajar erti hidup yang tiada disangka tidak dipinta oleh diri ini, menjadi ‘bahan kajian’ oleh fitnah duniawi dan iri hati. Menjadi perantaraan maksiat yang terhidang di hadapan mata. Kias dan bayangan sudah diberi namun tiada daya memikirkan lagi.

Baru kusedari adakah ini sebagai satu kifarah buat manusia yang pernah melalui dunia kenikmatan biarpun laluan yang dilalui itu hakikatnya satu kesamaran yang masih ada sinar yang menanti hadapan sana. Risau sebenarnya andai terus gelap tanpa cahaya petunjuk.

Saat tersedar dari “..lena yang panjang..” dan “..khayalan yang penuh tipu daya..”, ingin kembali ke jalan - Nya. Namun bukan mudah untuk diteruskan biarpun kaki melangkah sekadar beberapa tapak. Setiap kali melangkah, hati terkilan dan terguris dengan kenangan silam. Kenangan silam yang menjadi bayangan hitam yang ingin dipadam. Sampai bila harus ditanggung penderitaan ini.

Saat bersama namun dirasakan seperti dunia sepi menyendiri..
Saat bersendirian terasa seperti ada peneman menjadi penghibur diri..
Terasing biar ada di depan mata..
Terleka dengan dunia sendiri berhadap dengan permainan dunia..
Dimensi membutakan mata memekakkan telinga..
Paradigma dunia menjadi hilang dalam kesamaran..
Leka dan alpa, perhubungan menjadi kian renggang dan kian pudar dari awalnya..

Keaiban diri dicanang di ruang pelusuk bumi, di ruang mata tak kelihatan baiknya saat kesilapan dipandang besar. Terasa cengkaman jiwa menghambat perasaan yang ingin berkasih. Benci dan iri menguasai diri sehinggakan yang lain menjadi korban dengki dan dendam.

Dendam kesumat terpahat padat .
Api amarah yang tidak pernah pudar dan padam...
Hasutan syaitan yang tidak pernah sesekali mengalah..

**********************************************************************

Bermula dari satu pandangan, saat terukir berbalas senyuman dan teguran sapa, tika terbina sebuah perkenalan dan binanya sebuah perhubungan diteruskan pula dengan persahabatan.

Di mana ingin ku cari galang ganti seorang ‘Teman’

Senyuman di ulas bibir saat kenangan ada bersama biar ada manis pahit dalam perhubungan. Resah dan gelisah, teguran pedas dan pedih, tajam memakan diri. Kata-kata sindiran dianggap mainan sebagai hiasan warna warni perjalanan.

Saat berkongsi pengalaman hidup dan luahan soal hati dan perasaan. Menjadi sahabat dan teman kepercayan. Namun dalam masa yang sama risau andai apa yang dikongsi menjadi persoalan dan perbahasan buat yang tidak dikenali. Tokok tambah dalam ‘cereka’ menjadi ‘halwa’ manisnya bercerita.

Tiada akan adanya dendam tiada akan adanya dengki. Namun mendung di pertengahan tiada jangka dengan arus dunia. Akhirnya senyap menyepi membawa diri dibuang insani yang pernah terisi di kamus kehidupan. Diketepi nan menjaga naluri dan perasaan. Masing-masing dengan cara yang tersendiri. Biarpun begitu usah ada benci saat kita pergi membawa haluan yang kita tempuhi.

Tidak perlu menjadi batu api. Tidak perlu diaibkan silap salah, tidak perlu dihebohkan buat umat manusia tentang si fulan itu dan si fulan ini. Salah mana sekalipun insan itu, apakah kita tahu mungkin ada sesuatu yang dia lakukan yang menjadi wasilah darjat manusia diangkat biar dihina di kaca mata manusia.

Gah mana diri kau sehinggakan kau fikir kau saja betul semuanya. Keras kepala, degil, mustahil tiada dalam diri. Jangan kau canang keaiban manusia sekeliling kau. Jangan sampai keaiban kau sendiri terpamer dek perbuatan kau yang cuba kau selindung dari pengetahuan yang lain.

Hubungan persahabatan yang jernih jangan kau cuba keruhkan biarpun tanpa di depan mata. Kata kau, kau ingin berhenti menjaja namun tidak pelik dan tidak hairan kalau kau tidak tunaikan. Hipokrit diri kau akan memakan diri. “..Just wait and see..”

Wahai manusia, biar kalian ada dendam dan amarah buat diri ini, terserah pada kalian. Kalian ada hak untuk benci marah dan buang diri ini dalam hidup kalian. Maaf, aku tiada masa untuk benci kalian. Aku tiada ruang untuk mendendami kalian. Aku tidak punya waktu untuk marah kalian. Apa yang akan aku peroleh andai aku memendam benci, dendam dan marah…???

“…Aku juga seorang manusia yang punyai naluri dan perasaan...”

Tiada apa yang aku dapat kecuali diri sendiri yang rasa terseksa. Jiwa menderita memikirkan hal perihal yang lain tiada untungnya bagiku ini. Apa sekalipun yang kalian lakukan terhadapku, sebelum mata terpejam di saat “.. kematian sementara..”, kemaafan dan doa ku kirimkan buat semuanya. insyaAllah.

**********************************************************************

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi dengan izin - Nya dapat lagi diri ini bernafas di atas muka bumi pinjaman sementara. Umur yang meningkat, usia yang kian berkurang. Hampirya diri ini dengan kematian. Sampai masanya akan mendapat gelaran ‘arwah’. Sekarang ini hanya digelar ‘bakal jenazah’. Bilanya, di mananya, saatnya, keadaanya, semuanya sudah ditetapkan. Menanti tiba waktu ajal menjemput, saat hadirnya ‘tetamu’ yang dirai .. Malaikat Izrail ..

Apakah tika itu diri ini bersedia menyambut ‘tetamu kehormat’ tersebut..???
Apakah hadirnya ‘tetamu’ itu dengan khabar gembira dan senyuman yang terukir..???
Apakah diri ini redha pada waktunya itu…???

“..Mudahan apabila aku mati kelak, aku redha untuk bertemu dengan Allah Taala dan
Allah Taala redha untuk bertemu denganku..”

Rahmat dan Maghfirah - Mu ku pohon dari kini buat selamanya. Bukan sahaja buatku bahkan buat emak ayah, ibu bapa, ahli keluarga dan kaum kerabat saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai, semua umat Islam umumnya samada yang masih hidup mahupun yang sudah tiada meninggalkan dunia fana ini. Allahumma amin.

Tanpa mereka, siapakah diri ini setelah 25 tahun ‘bertatih’ suku abad di muka bumi ini. Mencari dan terus mencari di setiap persinggahan untuk pulang ke ‘kamar halaman’ berbekalkan sedikit bekalan.

Terkadang diri ini tersasar dari arah tujuan, timur barat utara selatan, aku merangkak pergi. Ada derita, beban, cacat celanya dalam setiap derap langkah. Ada susah payah yang aku tinggalkan buat kalian. Dengan rasa rendah diri, inginku pinta, kemaafan dan redha kalian buat diri ini walaupun aku tahu tidak semua mampu untuk memberikannya. Aku berharap, tanggungjawab aku sudah usai akan hal ini.

Ya Allah, Tuhan Yang Esa, pada - Mu dipanjatkan doa, tetapkan iman kami pada agama - Mu. Tunjuki kami jalan yang Kau redhai dah rahmati.

Amin Ya Rahman..
Amin Ya Rahim..
Amin Ya Rabbal ‘alamin..



~ monolog ~
Muhammad Sobri bin Abdul Rahim
02 Februari 1990 / 06 Rejab 1410
Jam 1621